Kenanga Investors muncul pemenang Dana Ekuiti Large-Cap Terbaik pada majlis Anugerah Dana Morningstar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kenanga Investors muncul pemenang Dana Ekuiti Large-Cap Terbaik pada majlis Anugerah Dana Morningstar Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 April - Kenanga Investors Berhad muncul pemenang Dana Ekuiti Large-Cap Terbaik Malaysia bagi Dana Perkembangan Kenangan - Siri 2 USD pada majlis Anugerah Dana Moningstar Malaysia yang sekali gus menjadi kejayaan pertama dana itu sejak diperkenalkan pada Mei 2018.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismitz Matthew De Alwis berkata, portfolio dana itu menggunakan strategi pelaburan khusus yang mencapai keseimbangan antara risiko dan ganjaran, fokus kepada tema pertumbuhan struktur dan kitaran.

 

"Strategi yang stabil dan seimbang adalah penting untuk berhadapan pasaran yang tidak menetu akibat kemunculan pelbagai varian baharu COVID-19. 

 

"Pulangan pelaburan yang kukuh kamu boleh dikreditkan kepada Ketua Pegawai Pelaburan, Lee Sook Yee dan falsafah pelaburan kami mencerminkan kepercayaan terhadap penyelidikan asas yang digabungkan dengan pendekatan nilai relatif boleh menghasilkan pulangan yang konsisten," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

 

Anugerah tahunan itu direka untuk membantu pelabur mengenal pasti dana runcit yang memberikan nilai terbaik kepada mereka untuk jangka panjang.

 

Metodologi anugerah itu memberikan tumpuan kepada hasil dalam tempoh setahun, dana itu juga perlu memberikan pulangan yang kukuh dalam tempoh tiga tahun selepas penilaian risiko dilakukan.

 

Bangkit daripada krisis pandemik tahun lalu, pengurus aset mengambil keputusan untuk cenderung melabur di dalam sektor teknologi dan penjagaan kesihatan yang terbukti mampu bersaing dalam keadaan pasaran yang tidak stabil.

 

De Alwis berkata, pihaknya sentiasa menilai setiap pelaburan yang dibuat bagi memastikan ia kekal relevan khususnya melibatkan sektor yang memiliki daya tahan, berkembang secara konsisten dan harga yang berpatutan.

 

"Untuk pelaburan masa hadapan, kami berhasrat untuk menerapkan pendekatan bertahan dengan menggunakan kelemahan untuk menafaatkan kelebihan pasaran yang tidak stabil," katanya.

 

Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dan permintaan terhadap pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), De Alwis berkata, pihaknya sentiasa menggabungkan ESG sebagai antara pertimbangan penting ketika membuat pelaburan kerana mereka mahu menerapkan pertimbangan prestasi jangka panjang menerusi pelaburan lestari. - DagangNews.com