Kenanga positif cadangan pengambilalihan JurisTech oleh CTOS | DagangNews Skip to main content

Kenanga positif cadangan pengambilalihan JurisTech oleh CTOS

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 Dis - Kenanga Research positif ke atas cadangan CTOS Digital Bhd. untuk mengambil alih 49% kepentingan dalam syarikat pakar teknologi kewangan (fintech), Juris Technologies Sdn. Bhd. (JurisTech) dengan pertimbangan tunai berjumlah RM205.8 juta.

 

Firma penganalisis itu berkata, pihaknya turut mengulangi saranan 'Outperform' dengan harga sasaran (TP) saham sebanyak RM2.00 bagi saham CTOS.

 

Ujarnya, walaupun pertambahan pendapatan dicairkan oleh penempatan saham tersebut, pihaknya kekal positif dengan tawaran berkenaan, kerana ia membolehkan CTOS menyediakan perkhidmatan pinjaman digital hujung ke hujung.

 

"Kami mengekalkan TP kami yang telah dicairkan sepenuhnya sebanyak RM2.00 kerana peningkatan pendapatan sesaham (EPS) adalah tidak ketara dalam FY22," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Minggu lalu CTOS Digital memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat untuk cadangan pemerolehan 49% kepentingan ekuiti dalam JurisTech daripada Natsoft (M) Sdn Bhd, syarikat induk yang dikawal oleh pengasas JurisTech, sementara menunggu kelulusan pemegang saham CTOS Digital dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan datang.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital, Eric Hamburger berkata, pengambilalihan itu membolehkan kedua-dua syarikat saling melengkapi kekuatan masing-masing dan memperkukuhkan penyelesaian digital hujung ke hujung dalam pasaran. 

 

Katanya, ia juga dapat mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai penyelesaian sehenti bagi institusi kewangan.

 

Dalam pada itu Kenanga berkata, pihaknya menganggap tawaran itu akan dibiayai sepenuhnya oleh penempatan persendirian sebanyak 136.5 juta saham baharu. 

 

"Ini akan mengembangkan asas saham CTOS sebanyak 6.2%. Pengambilalihan itu akan meningkatkan keuntungan CTOS daripada syarikat bersekutu, menaikkan untung bersih teras (CNP) FY22E sebanyak 7%. 

 

"Walau bagaimanapun, pencairan pendapatan 6.2% daripada asas saham yang diperbesarkan akan mempengaruhi dan hanya meningkatkan EPS FY22E sebanyak ~1%," katanya. -DagangNews.com