Kenanga Research jangka IHH Healthcare terus catat pertumbuhan pendapatan pada suku-suku berikutnya | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka IHH Healthcare terus catat pertumbuhan pendapatan pada suku-suku berikutnya

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - IHH Healthcare Berhad dijangka catat pertumbuhan pendapatan dalam suku-suku akan datang, didorong oleh peningkatan pesakit dan kadar penghunian katil di hospitalnya di Malaysia, Singapura, India dan Turki.

 

Melihat ke hadapan dalam 2023, Kenanga Research menjangkakan pertumbuhan pendapatan setiap pesakit dalam adalah banyak 10% hingga 15% berbanding 18% pada 2022 disebabkan kesan asas yang rendah pada 2021.

 

Manakala bilangan pesakit dalam dijangka meningkat 10% hingga 15% dan kadar penghunian katil sebanyak 60% hingga 73% untuk hospitalnya di Malaysia, Singapura, India dan Turki.

 

“Kami percaya faktor pertumbuhan utama untuk bilangan pesakit dalam dan kadar penghunian katil adalah pembedahan elektif dan perjalanan perubatan yang rancak semula, penambahan katil baharu dan sumbangan setahun penuh pertama daripada hospital Ataşehir di Acibadem, Turki,” kata firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

 

IHH Healthcare terus disukai oleh firma tersebut disebabkan kuasa penentuan harganya kerana permintaan penjagaan kesihatan yang tidak anjal memberikannya keupayaan untuk mengatasi kos berikutan peningkatan inflasi.

 

Selain itu, kumpulan itu mempunyai pemulihan kukuh dalam bilangan pesakit dari pasaran domestik dan antarabangsa selepas pandemik dan kedudukan pasarannya menguasai ruang penjagaan kesihatan swasta dengan kehadiran di Malaysia, Singapura, Turki dan China.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan dan mengulangi saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) pada RM7 sesaham.

 

Mengulas mengenai prestasi kumpulan dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), firma itu berkata keuntungan bersih RM355 juta kumpulan itu dalam jangkaan dengan mencapai 21% daripada ramalan tahun penuhnya dan konsensus.

 

“Pendapatan 1QFY23 kumpulan telah meningkat 24% didorong oleh kedua-dua pesakit tempatan dan asing yang datang semula, dan pada umumnya kemasukan dan hasil pesakit dalam yang lebih tinggi.

 

“Ini dirangsang lagi oleh skala operasinya yang diperbesarkan disokong oleh pembukaan Hospital Atasehir, pengembangan hospital Gleneagles Hong Kong dan pembelian hospital Ortopedia,” tambahnya.

 

Setakat pukul 11:45 pagi ini, saham IHH Healthcare tidak berganjak pada RM5.77 dengan modal pasaran RM50.8 bilion. -DagangNews.com