Kenanga Research jangka inisiatif 5G Telekom Malaysia beri kesan positif kepada kualiti perkhidmatan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka inisiatif 5G Telekom Malaysia beri kesan positif kepada kualiti perkhidmatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kenanga Research optimis terhadap komitmen Telekom Malaysia Berhad (TM) terhadap inisiatif 5G dan menjangkakan ia akan memberi kesan positif kepada kualiti perkhidmatan serta kepuasan pelanggan.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu tidak menjangkakan Unifi Mobile bertindak selaku pemacu utama pendapatan kumpulan itu sebaliknya melihat kesan positif daripada strategi penumpuan TM.

 

"Strategi penumpuan akan memberikan rangsangan kepada purata pendapatan Unifi bagi setiap pengguna, yang merupakan salah satu produk utama TM," katanya dalam satu nota kajian.

 

TM sebelum ini menerokai ruang mudah alih melalui pemerolehan Packet One Networks (Malaysia) Sdn. Bhd. (P1) yang membolehkannya menawarkan perkhidmatan tertumpu melalui rangkaian 4G LTE P1 dan spektrum mudah alih (blok 20MHz dalam jalur 2.6GHz).

 

Perkhidmatan mudah alih TM telah dilancarkan sebagai webe pada September 2016 dan kemudiannya dijenamakan semula sebagai Unifi Mobile.

 

Daya tarikan Unifi Mobile terhad dalam menarik pelanggan 4G baharu disebabkan pegangan spektrum yang tidak mencukupi selain mengakui kurang pengalaman dalam memasarkan perkhidmatan mudah alih.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelan pascabayar Unifi Mobile yang sedia ada mempunyai harga yang kompetitif, mengelakkan persaingan langsung dengan pesaing yang lebih besar.

 

Katanya, yuran bulanan untuk pakej pascabayar Unifi Mobile adalah antara RM39 hingga RM99 manakala pelan pascabayar daripada CelcomDigi, Maxis dan Digi berharga lebih tinggi, antara RM60 dan RM139.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan sambutan yang agak menggalakkan untuk produk baharu Unifi Mobile,” katanya.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, tindakan pantas TM dalam ruang 5G menjadikan Unifi Mobile tidak lagi terganggu oleh kekurangan sumber spektrum.

 

"Hal ini kerana semua pemain mudah alih berkemungkinan akan terus mendapatkan kapasiti 5G borong daripada pembekal universal tunggal iaitu Digital Nasional Bhd (DNB) dan diikuti kemunculan rangkaian 5G kedua baharu.

 

"Oleh yang demikian, ini membayangkan tahap landskap 5G membolehkan TM bersaing dengan berkesan," katanya. - DagangNews.com