KUALA LUMPUR 2 Mei - Kenanga Research positif terhadap kerjasama dengan Samsung Electronics Co Ltd akan menghasilkan litar bersepadu industri (IC) tetapi menjangkakan ia tidak akan memberi impak segera kepada pendapatan kumpulan.
Katanya, kerjasama itu merupakan pencapaian penting memandangkan ia disertakan dengan akses kepada faundri kit proses pembangunan (PDK) merangkumi fail perpustakaan proprietari dan metodologi pembuatan.
Firma penyelidikan itu berkata, lazimnya akses kepada sumber tersebut hanya diberikan selepas proses kelayakan yang ketat, termasuk penilaian keupayaan reka bentuk, rekod prestasi syarikat dan rangkaian yang selamat.
"Kejayaan Oppstar dengan Samsung membuktikan kelayakannya. Samsung merupakan pembuat semikonduktor kedua terbesar di dunia dengan anggaran bahagian pasaran sebanyak 14% pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu mengumumkan kerjasama dengan Samsung Electronics bagi menghasilkan IC menggunakan teknologi Samsung 14 nanometer FinFET.
Kedua-dua syarikat itu juga merancang untuk meneroka kerjasama dalam mana-mana projek masa depan sejajar dengan minat dan keupayaan perniagaan bersama.
Kenanga Research berkata, permintaan untuk reka bentuk IC tersuai adalah kukuh disokong percambahan peranti internet kebendaan (IoT), kenderaan autonomi dan aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, statistik daripada Market.us mendedahkan bahawa nod 14nm (sebahagian daripada keluarga 14nm/16nm) memegang bahagian terbesar nod proses global iaitu sekitar 28%.
"Selain itu, nod 14nm kekal berkemampuan tinggi untuk aplikasi moden, seperti yang dibuktikan oleh produk seperti Exynos 8 Octa, Nvidia GTX1080, dan pemproses pandu kendiri penuh Tesla UBQ01B0, menawarkan keseimbangan ideal antara prestasi dan kemampuan," katanya.
Firma penyelidikan itu menyukai Oppstar kerana kehadiran yang semakin kukuh di dalam ruang semikonduktor selain keupayaan reka bentuk dalam nod proses termaju serta asas pelanggan yang pelbagai.
"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.72 sesaham," katanya.- DagangNews.com