Kenanga Research jangka projek infrastruktur awam termasuk MRT3, LRT Bayan Lepas bermula tidak lama lagi | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka projek infrastruktur awam termasuk MRT3, LRT Bayan Lepas bermula tidak lama lagi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 267 Sept - Projek pembangunan infrastruktur awam seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3), LRT Bayan Lepas serta projek tebatan banjir berskala besar dijangka bermula tidak lama.

 

Kenanga Research berkata, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) mengunjurkan perbelanjaan pembangunan kasar tahunan sebanyak RM88.1 bilion sepanjang 2023 hingga 2025, jauh lebih tinggi daripada RM64.3 bilion dan RM71.6 bilion pada 2021 dan 2022.

 

Bagaimanapun, katanya, peningkatan angka itu sebahagiannya disebabkan inflasi kos manakala sebahagian besar perbelanjaan pembangunan kasar biasanya digunakan ke arah penyelenggaraan infrastruktur awam sedia ada, dan pembiayaan projek luar bandar berskala kecil.

 

"Berada dalam senarai keutamaan tertinggi, MRT3 atau MRT Circle Line bernilai RM45 bilion menyediakan sambungan ke laluan MRT, LRT, monorel dan kereta api sedia ada melalui stesen pertukaran, serta LRT Bayan Lepas bernilai RM9.5 bilion akan membantu mengurangkan kesesakan di Pulau Pinang.

 

"Ditambah dengan pelancaran enam projek tebatan banjir yang dilaporkan bernilai RM13 bilion termasuk di Sungai Johor (Johor), pembinaan takungan dwi-fungsi Sungai Klang-Sungai Rasau (Selangor) dan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa Pembangunan 3 (Kelantan).

 

"Kami percaya akan ada pekerjaan yang mencukupi untuk kontraktor di semua peringkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, MRT Corp telah meminta persetujuan daripada pembida pakej kerja MRT3 bagi melanjutkan tender mereka hingga akhir 2023 (mulai September 2023).

 

Katanya, ia menunjukkan bahawa MRT Corp sedang giat melaksanakan projek itu, walaupun ia perlu menjalankan penelitian terhadap reka bentuk, spesifikasi, penjajaran dan mekanisme pembiayaannya.

 

"Kami percaya projek itu, yang kini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan, berpotensi untuk beroperasi lebih awal kerana ia tidak lagi dikekang oleh ketersediaan keuntungan dan aliran tunai.

 

"Kerajaan, melalui Kementerian Pengangkutan, kini sedang menyelesaikan butiran dengan rakan kongsi penyampaian projek SRS Consortium yang diketuai oleh Gamuda Berhad dan kerja fizikal boleh dimulakan pada awal 2024," katanya.

 

Firma penyelidikan itu kekal dengan penarafan 'overweight' untuk sektor pembinaan. - DagangNews.com