KUALA LUMPUR 12 April - Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' untuk Swift Haulage Berhad dengan harga sasaran (TP) RM 1.01 selepas mengambil kira potensi perkembangan luar biasa yang didorong oleh permintaan pasaran tinggi untuk pengangkutan kontena, pengangkutan darat dan gudang.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga berjaya merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak 10%, lebih tinggi berbanding 4% secara purata dalam industri itu dan ia disokong perkhidmatan bersepadu dan sokongan pada kos yang lebih kompetitif.
Katanya, pendapatan kumpulan juga dijangkan bertambah baik dengan jangkaan penggunaan hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk pembayaran hutang.
"Bagaimanapun, kumpulan itu dilihat bakal berdepan beberapa risiko termasuk jualan serta margin keuntungan yang lebih rendah selain berlaku kelewatan perkembangan gudang utamanya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, gudang, pembesaran depoh kontena dan prime mover adalah penambahan yang membolehkan Swift Haulage memenuhi permintaan pasaran selepas pandemik COVID-19 dan perkembangan dagangan luar yang sihat.
Berdasarkan kepada keadaan itu, kupulan itu dijangka mencatatkan keuntungan satu digit tertinggi (purata magin PATAMI sebanyak 8.6%) dengan perniagaan pergudangan yang semakin berkembang dan pertumbuhan penghantaran.
"Mereka juga akan mencatatkan penjimatan kos daripada penggunaan hasil IPO untuk melunaskan pinjaman (peruntukan RM96.7 juta atau 43.1% daripada terbitan IPO) dan penggunaan elaun cukai pelaburan bagi menurunkan kadar cukai pada FY21/22," katanya.
Dalam pada itu, kumpulan itu juga berjaya menjana pendapatan secara berterusan daripada segmen petrokimia selepas berjaya mendapatkan kontrak selama tiga tahun bermula November 2018 dengan pilihan lanjutan dua tahun untuk menguruskan gudang.
Firma itu berkata, perkara itu telah membantu mereka mengembangkan protfolio perniagaan mereka dengan kepelbagaian pelanggan yang menyumbang sebanyak 33% daripada pendapatan FY21. - DagangNews.com