Kenanga Research naik taraf sektor utiliti kepada 'overweight' didorong pendapatan tinggi pada 1Q2024 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research naik taraf sektor utiliti kepada 'overweight' didorong pendapatan tinggi pada 1Q2024

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Kenanga Research menyemak naik penarafan sektor utiliti kepada 'overweight' didorong peningkatan pendapatan yang melebihi jangkaan pada suku pertama tahun ini (1Q2024).

 

"Sektor ini menunjukkan daya tahan pendapatannya yang disokong oleh aset terkawal menjana hasil dividen yang baik sehingga 6%," katanya.

 

Laporan itu menunjukkan prestasi terbaik Tenaga Nasional Bhd (TNB) dipacu oleh kecekapan loji serta meningkatkan pendapatan apabila jualan elektrik mencapai satu lagi rekod tertinggi.

 

“Kami menaik taraf pertumbuhan permintaan TNB kepada 3.5% daripada 3% berbanding tahun kewangan baharu 2024 (FY24) kepada FY35, yang jatuh dalam panduan FY24 syarikat yang baru diumumkan itu sebanyak 3% kepada 4%, daripada 2% kepada 3% " kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, TNB merupakan pilihan utama kerana ia merupakan penerima manfaat jangka panjang daripada kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) untuk membina pusat data di negara ini.

 

"Bagi memenuhi pembangunan pusat data, perbelanjaan modal lebih tinggi, pelaburan penghantaran dan pengedaran, ini menambah kepada asas aset terkawal yang boleh diterjemahkan kepada pertumbuhan pendapatan lebih tinggi," katanya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu juga positif terhadap Gas Malaysia Bhd, yang mendapat manfaat daripada margin runcit yang bertambah baik apabila harga jualan purata meningkat, manakala Malakoff Corp Bhd menjangkaui ramalan disebabkan pendapatan penjanaan kuasa yang kukuh.

 

Ia menegaskan pendapatan Petronas Gas Bhd mendatar pada 2Q24 memenuhi jangkaan di mana ia terus menikmati margin yang lebih baik berikutan kos gas yang lebih rendah apabila harga gas bahan api menurun.

 

“Petronas Gas disokong oleh semakan menaik dalam surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) baru-baru ini, manakala Gas Malaysia bersedia untuk volum jualan yang lebih tinggi (sebahagiannya didorong oleh permintaan yang lebih tinggi daripada pengeluar sarung tangan) tetapi perlu akur dengan margin yang lebih rendah sebagai harga gas turun,” katanya.

 

YTL Power International Bhd kekal sebagai pilihan utama firma penyelidikan tu, yang akan terus diperhatikan bagi pelaksanaan pusat data kecerdasan buatan (AI).

 

"Semua tertumpu kepada pembinaan  pusat data AI YTL Power kerana cip Blackwell Nvidia yang ditempatkan di pusat data AI 20MW dijadualkan dihantar pada suku pertama 2025," katanya. 

 

“Walaupun keputusan 4Q2024 selari, YTL Power terus menyaksikan pendapatan PowerSeraya jatuh disebabkan margin yang lebih rendah diimbangi balas dengan kejutan yang menyenangkan dalam pemulihan di Wessex Water (dengan tarif yang lebih tinggi) dan unit telekomunikasi (mengenai keuntungan pembinaan),” kata Kenanga Research . - DagangNews.com