Kenanga Research optimis Kelington raih lebih banyak projek pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research optimis Kelington raih lebih banyak projek pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kenanga Research optimis terhadap kejayaan Kelington Group Berhad meraih kontrak baharu bernilai RM134 daripada faundri semikonduktor terbesar China dan pada masa sama menjangkakan kumpulan itu berada pada kedudukan baik untuk meraih lebih banyak projek baharu pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak baharu itu akan ditambah kepada buku pesanan tertunggak sedia ada kumpulan RM1.5 bilion, manakala buku tendernya kekal dinaikkan lebih RM2.1 bilion.

 

Katanya, prospek tender yang mantap adalah sejajar dengan ramalan Industri Pengilang Peralatan Semikonduktor  (SEMI) mengenai pemulihan 12% pada 2024, diikuti oleh kitaran menaik 24% pada 2025.

 

"Kelington kekal sebagai antara pilihan utama kami dalam sektor ini memandangkan keupayaanya dalam memberikan pendapatan kukuh secara konsisten bagi menghadapi gelombang seterusnya dalam industri itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu menerima kontrak bagi melaksanakan reka bentuk, perolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem sambungan gas di Shanghai.

 

Kontrak itu akan bermula pada bulan ini dan dijangka siap sepnuhnya pada Januari 2026.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran RM3.28 dan pada masa sama menyukai kumpulan itu kerana ia menjadi proksi kepada pengembangan fabrik wafer hadapan.

 

Kumpulan itu yang mempunyai kehadiran dalam pelbagai pasaran seperti Malaysia, Singapura dan China, juga mempunyai keterlihatan pendapatan yang kukuh disokong oleh buku pesanan dan buku tender yang kukuh melebihi RM1 bilion. - DagangNews.com