Kenanga Research positif terhadap prospek Kimlun didorong pelancaran projek infrastruktur awam, tebatan banjir | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research positif terhadap prospek Kimlun didorong pelancaran projek infrastruktur awam, tebatan banjir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - Kenanga Research mengunjurkan prospek lebih cerah untuk Kimlun Corporation Berhad didorong pelancaran lebih banyak projek infrastruktur awam dan tebatan banjir.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang mengintai pakej pekerjaan dan tempahan produk konkrit pratuang daripada projek Pan Borneo Fasa 2, Sistem Transit Rapid Singapura-Johor Bahru (RTS Link), Singapore Cross Island Line, kilang semikonduktor dan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3).  

 

Katanya, sehingga Jun 2023, buku pesanan tertunggak pembinaannya berjumlah RM1.84 bilion (berbanding RM1.42 bilion tiga bulan lalu) manakala unit pembuatan susut kepada RM300 juta (daripada RM360 juta sebelumnya).

 

"Kami bagaimanapun menyemak turun unjuran pendapatan FY23 dan FY24 kumpulan itu sebanyak 8% dan 15% bagi mencerminkan margin keuntungan yang lebih lemah untuk kedua-dua bahagian pembinaan dan pembuatannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu hampir tidak balik modal pada 1HFY23 selepas hanya mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM500,000 dan ia membentuk 1% dan 2% daripada ramalan tahun penuh dan anggaran konsensus.

 

Varians terhadap ramalan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakupayaan untuk membendung kos di kedua-dua bahagian pembinaan dan pembuatannya.

 

Tiada dividen diisytiharkan pada suku tahun seperti yang dijangkakan kerana ia biasanya hanya membayar dividen akhir pada suku keempat.

 

Hasil bagi 1HFY23 kumpulan itu meningkat 4% kepada RM376 juta diterajui oleh hasil yang lebih tinggi daripada unit pembinaan (+11%) apabila kemajuan kerja dipercepatkan dan segmen pembuatan (12%) pada penghantaran pesanan dalam tangan.

 

Bagaimanapun, keuntungan terasnya menjunam sebanyak 81% disebabkan oleh tekanan kos seperti yang dinyatakan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Kimlun berdepan beberapa risiko termasuk aliran kerja pembinaan yang lemah daripada kedua-dua sektor awam dan swasta.

 

Mereka juga dijangka berdepan kos projek yang berlebihan dan liabiliti daripada ganti rugi pasti (LAD) dan peningkatan kos bahan binaan.

 

"Kami menyemak turun penarafan kumpulan kepada 'market perform' daropada 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 82 sen sesaham berbanding 90 sen sebelum ini," katanya. - DagangNews.com