Kenanga Research semak naik TIV tahun penuh 2023 sebanyak 7% kepada 770,000 unit | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak naik TIV tahun penuh 2023 sebanyak 7% kepada 770,000 unit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Nov - Kenanga Research menyemak naik unjuran jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi tahun penuh 2023 sebanyak 7% kepada 770,000 unit berbanding 720,000 unit melebihi sasaran 725,000 unit yang ditetapkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

Katanya, unjuran itu dibuat berdasarkan kadar jualan yang lebih kukuh berbanding jangkaan terutama Perodua.

 

Sejajar dengan itu, firma penyelidikan itu menyemak naik untung bersih FY23-24F MBM Resources Berhad sebanyak 3.4% dan 3.0%, sambil meningkatkan ramalan setahun penuh masing-masing kepada 325,000 unit (daripada 314,000 unit) dan 330,000 unit (daripada 320,000 unit).

 

"Lami juga menaikkan harga sasaran (TP) kami untuk MBM Resources sebanyak 3.2% kepada RM4.85 daripada RM4.70 dan mengekalkan panggilan 'outperform'," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research mengekalkan sasaran TIV 2024 sebanyak 710,000 unit kesan rasionalisasi subsidi bahan api dan potensi kenaikan harga kereta baharu daripada kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan kepada 8% berbanding 6% sebelum ini.

 

Katanya, kereta baharu masih merupakan kemewahan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia walaupun inflasi yang tinggi dan ekonomi global yang perlahan.

 

"Kami kini melihat peluang yang lebih besar dalam segmen mampu milik kerana ia akan kurang terjejas oleh pengenalan subsidi bahan api yang disasarkan yang mungkin menjejaskan permintaan untuk kenderaan pasaran pertengahan kerana ia akan menghakis kuasa perbelanjaan kumpulan M40.

 

"Keyakinan itu disokong oleh ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat selain kemampuan kenderaan bermotor disokong oleh harga kereta baharu yang stabil hasil penangguhan peraturan duti eksais baharu dan model baharu yang menarik," katanya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, keterlihatan pendapatan industri masih kukuh, disokong oleh tempahan tertunggak sebanyak 235,000 unit dan lebih separuh daripada tunggakan adalah daripada pelancaran model baharu.

 

Katanya, keterujaan semakin meningkat dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dengan pelancaran baharu BYD Seal dan Tesla Model 3 baru-baru ini dan disokong oleh peningkatan bilangan infrastruktur pengecasan EV. - DagangNews.com