Kenanga Research turunkan unjuran untung bersih teras United Malacca sebanyak 14% bagi FY24 | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research turunkan unjuran untung bersih teras United Malacca sebanyak 14% bagi FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Dis - Kenanga Research menyemak turun unjuran untung bersih teras United Malacca Berhad bagi FY24 sebanyak 14% kesan pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah daripada jangkaan dan kos yang lebih tinggi tertutamanya di Indonesia. 

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, kos seunit sepatutnya lebih rendah memandangkan penuaian BTS bertambah baik tetapi lebih perlahan daripada jangkaan.

 

"Kos input seperti baja dan bahan api juga mula menurun dari tahun ke tahun,  dividen sesaham bersih (NDPS) tahunan FY24-25F sebanyak 12 sen dikekalkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih suku kedua berakhir 31 Oktober 2023 (2QFY24) turun 12.64% kepada RM13.72 juta daripada RM15.71 juta pada tahun sebelumnya, disebabkan perbelanjaan yang lebih tinggi dan kerugian pelaburan.

 

Kerugian pelaburan disumbangkan oleh kerugian pertukaran mata wang asing bersih sebanyak RM2.83 juta pada suku tersebut.

 

Hasil suku tahunan, bagaimanapun, meningkat sebanyak 3.13% kepada RM144.51 juta berbanding RM140.13 juta pada tahun sebelumnya berikutan sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada operasinya di Malaysia dan Indonesia.

 

Bagi separuh pertama berakhir 31 Oktober 2023 (1HFY24), untung bersih kumpulan perladangan itu susut 59% kepada RM16.4 juta daripada RM40.01 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

 

Hasil, sebaliknya, turun 9% kepada RM280.46 juta daripada RM307.57 juta.

 

Kenanga Research berkata, imbangan bekalan dan permintaan minyak makan global berkemungkinan kekal ketat pada 2024 (berpotensi sehingga pertengahan 2025) kerana bekalan bergantung pada cuaca.

 

Oleh itu, harga minyak sawit mentah (MSM) yang agak mendatar iaitu RM3,800 setiap tan dijangka sepanjang FY24-FY25 memandangkan El Nino sederhana setakat ini.

 

"Kos pengeluaran juga akan berkurangan. Secara keseluruhannya, margin harus bertambah baik, mengurangkan penuaian bermusim yang biasanya lebih perlahan untuk kumpulan pada separuh kedua tahun kewangannya.

 

"Kami mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM5.00 sesaham," katanya. - DagangNews.com