Kenanga Research unjur perkembangan MAHB terus dipacu oleh segmen perniagaan, kehadiran 16 juta pelancong | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur perkembangan MAHB terus dipacu oleh segmen perniagaan, kehadiran 16 juta pelancong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Kenanga Research menjangkakan perkembangan Malaysia Aiport Holdings Berhad (MAHB) akan terus dipacu oleh segmen perniagaan dan kehadiran pelancong yang diunjur melonjak kepada 16 juta orang pada tahun ini.

 

Firma itu berkata, kehadiran pelancong China yang sebelum ini menjadi penyumbang kepada 12% kadar ketibaan pelancong di Malaysia.

 

"Pada 2024, kami mengunjurkan ketibaan pelancong akan berkembang sebanyak 24% kepada 20 juta orang, berbanding sebelum pandemik sebanyak 26 juta orang," katanya dalam satu kentaan, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan trajektori trafik udara berkembang pada bulan-bulan berikutnya apabila syarikat penerbangan terus mengaktifkan semula lebih banyak pesawat untuk menyamai permintaan yang semakin meningkat.

 

Katanya, bagi mengukuhkan trajektori pertumbuhan trafik ialah pergerakan pesawat yang menghala ke arah peningkatan penerbangan jarak sederhana dan jauh ke destinasi Perth, Sydney dan Auckland, Asia Tenggara dan Asia Selatan.

 

Baru-baru ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyaksikan kehadiran semula Kuwait Airways selepas tujuh tahun, manakala dua lagi syarikat penerbangan asing iaitu KLM Royal Dutch Airlines dan All Nippon Airways, masing-masing akan meneruskan operasi penerbangan tanpa henti ke Amsterdam dan Tokyo, selepas menghentikan sementara operasi akibat pandemik COVID-19.

 

"Selain itu, Malaysia Airlines menambah kekerapan penerbangannya ke Tokyo mulai November 2022, dengan menjangkakan lonjakan permintaan perjalanan berikutan pembukaan semula sempadan Jepun kepada pengembara antarabangsa.

 

"AirAsia akan menumpukan pada operasi jarak sederhananya dengan meningkatkan penerbangan Malaysia AirAsia X kepada 44 merentasi 10 laluan bermula November 2022," katanya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM7.00 sesaham. - DagangNews.com