KUALA LUMPUR 18 Jan - Permintaan terhadap jalur lebar dan mudah alih tempatan akan disokong dengan liputan yang lebih luas pada akhir fasa satu inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).
Kenanga Research berkata, sasaran ditetapkan Jendela seperti sembilan juta premis dengan akses kepada jalur lebar, liputan Internet 100% di kawasan berpenduduk dan kelajuan jalur lebar mudah alih 100Mbps (megabit sesaat) menjelang 2025.
“Bagi sembilan bulan pertama 2022, sasaran fasa pertama sebanyak 7.5 juta premis (1HFY22: 7.2 juta) mempunyai akses kepada jalur lebar gentian dan 95.8% (berbanding sasaran 2022 sebanyak 96.9%) kawasan berpenduduk mempunyai akses kepada liputan 4G,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, purata kelajuan jalur lebar mudah alih juga meningkat kepada 52.48 Mbps, melepasi sasaran fasa satu asal iaitu 35 Mbps.
Katanya, dalam meningkatkan keseluruhan infrastruktur digital, 2.48 juta premis menikmati kesambungan gentian berbanding 2.24 juta pada 1HFY22; 36,000 stesen dinaik taraf kepada teknologi 4G daripada 34,000 pada separuh 2022 dan 839 lokasi mempunyai kesambungan satelit setakat 3QFY22.
Firma itu berkata, penyedia perkhidmatan seperti Digi.Com Berhad dilihat bersedia untuk mendapat manfaat daripada liputan yang lebih luas, mencapai kawasan pendalaman Malaysia dan kembalinya pekerja asing.
Sementara itu, penyedia infrastruktur telekomunikasi iaitu OCK Group Berhad dan Edotco Group pula bergantung kepada perbelanjaan besar bagi infrastruktur telekomunikasi di dalam negara dan rantau ini, jelasnya.
Firma itu berkata, sektor telekomunikasi juga boleh bersedia untuk penarafan semula jika kerajaan baharu menghentikan model rangkaian borong tunggal (SWN) semasa untuk pelaksanaan 5G atau menyemak syarat sedia ada untuk kelebihan pengendali rangkaian mudah alih.
Model SWN yang bersifat monopoli untuk pelaksanaan 5G adalah punca utama di sebalik penurunan taraf sektor itu sejak dua tahun lepas.
Firma itu berkata, mungkin terdapat kebimbangan mengenai lebih banyak pemotongan kadar jalur lebar dengan Kerajaan Perpaduan menerajui pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan risiko rendah untuk ini berlaku kerana selepas pemotongan ketara pada 2018, harga pakej jalur lebar di Malaysia kini mencecah purata pada AS$33 sebulan (daripada AS$45 pada 2017) atau AS$0.14 bagi setiap mbps, yang berada dalam julat AS$31 hingga US$258 sebulan di negara jiran.
"Kami mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu," katanya. - DagangNews.com