Kenanga Research unjur purata harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$80 setong | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research unjur purata harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$80 setong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) selain mengunjurkan purata harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$80 setong (bbl) bagi baki tahun ini berbanding AS$99/bbl pada tahun lalu.

 

Firma itu berkata, harga minyak kekal berdaya tahan disokong oleh permintaan tinggi daripada ekonomi bukan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) terutamanya China.

 

Katanya, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) menyokong harga minyak menerusi had pengeluaran, inventori yang lemah dan penyimpanan semula Rizab Petroleum Strategik (SPR).

 

Firma itu percaya bahawa harga minyak disokong dengan baik oleh campur tangan pasaran aktif OPEC+.

 

Sejak penubuhannya, mereka telah melaraskan tahap pengeluaran secara konsisten untuk mengawal bekalan dan meningkatkan sentimen.

 

"Kami percaya bahawa perbelanjaan modal (capex) O&G akan kekal teguh dan mendorong kontraktor huluan.

 

“Sebaliknya, prospek permintaan adalah lemah untuk petrokimia disebabkan oleh peralihan permintaan China daripada barangan pengguna dan pengangkutan mentah akibat pemotongan bekalan OPEC+," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, berdasarkan Prospek Aktiviti 2023-35 Petronas, permintaan akan meningkat pada 2023 untuk kebanyakan pekerjaan dan projek.

 

Katanya, ia merangkumi fabrikasi platform kepala telaga, penamatan platform dasar laut, bekalan kapal sokongan luar pesisir dan pelantar jack-up, penyelenggaraan bahagian atas, penyelenggaraan platform, pembinaan dan pengubahsuaian dan perhubungan serta pentauliahan luar pesisir.

 

"Oleh itu, kami percaya bahawa penyedia perkhidmatan huluan dimanfaatkan ke arah pemulihan dalam kadar sewa harian (DCR), penggunaan armada dan anugerah kontrak baharu," katanya.

 

Pilihan utama firma itu termasuk Yinson Holdings Berhad (outperform, TP: RM3.65) and Dialog Group Berhad (outperform; TP: RM3.10). - DagangNews.com