Keputusan PRN buka jalan kepada PM Anwar fokus pembaharuan dasar jangka sederhana, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Keputusan PRN buka jalan kepada PM Anwar fokus pembaharuan dasar jangka sederhana, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu, akan membuka jalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memberi tumpuan kepada pembaharuan dasar jangka sederhana yang amat diperlukan negara ini.

 

Firma penyelidikan ekonomi itu berkata, pembaharuan dan dasar jangka sederhana itu adalah sesuatu yang tidak dimiliki kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini ketika hilang kuasa pada 2018.

 

"Gagasan Ekonomi Madani yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 27 Julai 2023 memberikan gambaran tentang rangka kerja dasar kerajaan.

 

"Bagaimanapun, kini ia memerlukan pelaksanaan proaktif bidang makro utama, seperti penyatuan fiskal, pemacu pertumbuhan yang meluas dan inisiatif yang mendalam untuk merangsang pelaburan.

 

"Ini mungkin akan diimbangi oleh langkah populis untuk meningkatkan pendapatan kumpulan berpendapatan rendah dan mengawal kos sara hidup dengan lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

 

PM
                                     Datuk Seri Anwar Ibrahim

 

Terdahulu, pada Sabtu lalu, kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan penguasaan di tiga negeri dengan majoriti selesa sebanyak 86%, 73% dan 61% di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

 

Sementara itu, pakatan pembangkang Perikatan Nasional (PN) mengekalkan majoriti besar di Terengganu dan Kelantan (hasil penguasaan berterusan PAS di negeri-negeri pantai timur) dan memperoleh majoriti besar di Kedah.

 

LAGI BERITA: Kerajaan Perpaduan dijangka percepatkan inisiatif dasar agar Fiskal jangka panjang negara mampan -Kenanga Research

 

Firma penyelidikan itu berkata, satu lagi pemangkin utama ialah pecahan dalam indeks dolar Amerika Syarikat (AS) di bawah paras 100 mata.

 

Mereka percaya bahawa ia memerlukan masa sebelum pasaran global yakin bahawa kenaikan kadar AS telah berakhir dengan peluang yang baik untuk pemotongan kadar faedah apabila memasuki 2024.- DagangNews.com