Kerajaan beri sehingga RM2,000 menerusi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam | DagangNews Skip to main content

Kerajaan beri sehingga RM2,000 menerusi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan bersetuju memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama dalam sektor awam.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian itu melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

 

Beliau berkata, bayaran insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen. 

 

"Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal.

 

madani

 

"Kerajaan menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan nasib penjawat awam terbela, kerajaan bersetuju supaya liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik  dan had siling gaji ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000 selaras dengan pindaan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi sektor swasta.
 

Beliau berkata, kenaikan had siling gaji ini membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50% atau sekitar RM1.6 juta.

 

"Dengan kata lain, penjawat awam atau waris akan menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa bertugas.

 

"Akhir sekali, Kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012.

 

"Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan," katanya. - DagangNews.com