Kerajaan boleh jana RM1 bilion setahun jika laksana cukai minimum global terhadap golongan kaya - Hisamudin Yahaya | DagangNews Skip to main content

Kerajaan boleh jana RM1 bilion setahun jika laksana cukai minimum global terhadap golongan kaya - Hisamudin Yahaya

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mencadangkan kerajaan untuk melaksanakan Cukai Jutawan Global di Malaysia, yang dijangka membolehkan negara menjana pendapatan sebanyak RM1 bilion setiap tahun.

 

 

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia wajar membuka bidang baru bagi membanteras amalan mengelak cukai dengan mengenakan cukai minimum global ke atas golongan jutawan.

 

Katanya, beliau turut menyeru kerajaan untuk menoktahkan sebarang pelaksanaan cukai terhadap pengguna kerana ia akan membebankan rakyat, terutamanya golongan B40. 

 

"Sedangkan golongan kaya semakin kaya dan yang miskin terus papa kedana. Sudah tiba masanya kita meletakkan tumpuan kepada golongan jutawan di negara kita yang sebenarnya lebih wajar untuk menyumbang lebih kepada pendapatan negara. 

 

"Sebenarnya jurang kekayaan yang semakin melebar di negara kita membangkitkan gesaan supaya rakyat terkaya menanggung lebih banyak beban cukai," katanya ketika ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara di sini hari ini.

 

Menurut Hisamudin, kerajaan di seluruh dunia telah mula merancang untuk memperkenalkan cukai minimum global terhadap individu kaya raya di negara masing-masing.

 

"Merujuk kepada Belanjawan 2024 yang dibentangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memasukkan rancangan untuk mengenakan cukai minimum 25% ke atas 0.01% individu terkaya di AS.

 

"Selain itu, Cukai Jutawan Global ini turut dilaksanakan di negara Perancis bagi mengesan mana-mana jutawan yang menyembunyikan kekayaan merek," ujar beliau.

 

Dalam pada itu, Hisamudin turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan skim subsidi kota bagi mengurangkan kesan pelaksanaan subsidi bersasar terhadap warga kota.

 

Sekiranya kerajaan menerima cadangannya, beliau mencadangkan beberapa syarat untuk warga kota layak untuk skim itu.

 

“Sebagai contoh, kerajaan boleh menetapkan beberapa syarat termasuk berpendapatan RM5,000 ke bawah dan mereka menetap di Wilayah Persekutuan supaya mereka layak menerima skim itu,” katanya. - DagangNews.com