Kerajaan digesa kecualikan e-Invois kepada perusahaan mikro berpendapatan di bawah RM300,000 setahun - SAMENTA | DagangNews Skip to main content

Kerajaan digesa kecualikan e-Invois kepada perusahaan mikro berpendapatan di bawah RM300,000 setahun - SAMENTA

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 April - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa kerajaan untuk mengecualikan e-Invois kepada peniaga kecil dan perusahaan mikro dengan pendapatan di bawah RM300,000 setahun.

 

Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, sejumlah 76.7% daripada keseluruhan perniagaan terdiri daripada perusahaan mikro dan ia merangkumi perniagaan seperti kedai gunting rambut, penjaja makanan dan kedai runcit.  

 

Beliau berkata, sukar untuk perniagaan kecil mengeluarkan e-Invois memandangkan operasi yang terhad dan ia mungkin akan mengganggu urusan perniagaan serta menyebabkan sesetengah peniaga kecil terpaksa menutup perniagaan. 

 

"Kami mencadangkan agar mana-mana perusahaan bersifat perniagaan-ke-pengguna (B2C) atau menjual terus kepada pengguna dengan hasil di bawah RM300,000 setahun dikecualikan daripada mengeluarkan e-Invois dan dibenarkan mengeluarkan e-Invois sendiri (self-invoice)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

William berkata, setiap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin menampung kos tambahan untuk pelaksanaan e-Invois setinggi RM200,000 pada tahun pertama dan RM50,000 setiap tahun bagi tahun berikutnya bagi perundingan pelaksanaanm peningkatan sistem teknologi maklumat dan pekerja tambahan.

 

samenta
Datuk William Ng

 

Katanya, ia tidak termasuk sebarang penalti dan denda untuk kesilapan serta kelewatan dalam pengumpulan data dan sebagainya.

 

"Kebimbangan dalam kalangan PKS adalah jelas, terutamanya mengenai ketidakpatuhan yang tidak disengajakan. Oleh yang demikian, kami berharap kerajaan akan mengambil pendekatan ‘didik dan perbetul’, bukan ‘saman dan denda’ dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, proses e-Invois seperti yang dicadangkan agak rumit namun pihaknya menghargai usaha Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk melibatkan pihak industri dan profesional percukaian bagi menyeragamkan bilangan data yang diperlukan dalam e-Invois. 

 

Bagaimanapun, bilangan 55 data seperti yang dicadangkan adalah terlalu banyak dan merumitkan kepatuhan oleh peniaga.

 

Beliau berkata, memandangkan kelompok pertama e-Invois akan dilaksanakan pada 1 Ogos 2024, kerajaan masih mempunyai masa untuk mengambil langkah untuk mengurangkan jumlah data yang diperlukan.  - DagangNews.com