Kerajaan disaran berunding dengan industri mengenai cukai vape, dasar GEG | DagangNews Skip to main content

Kerajaan disaran berunding dengan industri mengenai cukai vape, dasar GEG

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Feb - Dewan Perniagaan Vape Malaysia (MVCC) menyeru agar Kerajaan mengadakan perundingan dengan industri mengenai rangka kerja kawal selia dan percukaian serta dasar Penamat Generasi atau Generational End Game (GEG) sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

 

Pada Jumaat, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Kerajaan akan meneliti cukai produk vape dan juga menyatakan sokongan terhadap dasar GEG.

 

Bagaimanapun, tiada butiran yang diumumkan mengenai kadar cukai serta tarikh permulaan. Selain itu, tiada butiran mengenai peraturan tersebut.

 

Setiausaha Agung MVCC, Ridhwan Rosli berkata, MVCC percaya Kerajaan mengambil langkah yang betul untuk memperkenalkan rangka kerja kawal selia dan percukaian ke atas industri vape.

 

Bagaimanapun, peraturan dan kadar cukai perlu diseimbangkan memandangkan ia akan memberi kesan kepada pemain industri tempatan.

 

 

MVCC, Ridhwan Rosli
                             Ridhwan Rosli

 

 

Selain itu, MVCC tidak bersetuju dengan cadangan GEG kerana ia akan mengharamkan produk vape dalam jangka masa panjang.

 

"Dasar ini pasti akan memberi kesan kepada perniagaan tempatan di Malaysia yang kini bernilai RM2.49 bilion," kata beliau.

 

MVCC menggesa Kerajaan memanggil industri untuk perbincangan mengenai peraturan, percukaian dan juga GEG sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

 

Sementara itu, Malaysian Vapers Alliance (MVA) kecewa kerana Kerajaan menyatakan sokongan terhadap cadangan Generational Endgame (GEG).

 

Presidennya, Khairil Azizi Khairuddin berkata, MVA percaya GEG pada vape adalah tidak produktif dan akan mewujudkan persepsi yang tidak tepat bahawa vape dan rokok adalah sama.

 

 

Khairil Azizi Khairuddin
                  Khairil Azizi Khairuddin

 

 

Selain daripada menghantar mesej yang salah kepada beribu-ribu bekas perokok yang beralih kepada vape sebagai cara untuk berhenti merokok, ia juga akan menghalang perokok semasa daripada beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya.

 

Pelbagai bukti saintifik bebas di seluruh dunia telah membuktikan bahawa walaupun vape mempunyai risiko kesihatan, risiko tersebut jauh lebih rendah berbanding dengan menghisap rokok.

 

Selain itu, vape juga telah berjaya membantu ramai perokok untuk berhenti menghisap rokok. Negara seperti UK, New Zealand juga telah menyokong vape sebagai produk yang kurang berbahaya berbanding rokok.

 

Semua sains dan bukti ini tidak boleh diabaikan dan MVA menggesa Kerajaan membuat penilaian menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan lanjut mengenai perkara ini.

 

Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) melihat pengumuman mengenai cukai vape untuk produk vape nikotin sebagai langkah positif kerana ia memberi laluan kepada peraturan untuk mengawal selia industri vape.

 

Datuk Adzwan Ab Manas, Presiden MRECA berkata, “Apabila vape dikenakan cukai dan dikawal selia, maka ia boleh ditolak secara rasmi sebagai produk yang kurang berbahaya berbanding tembakau. Dengan ini, perokok akan digalakkan untuk perlahan-lahan beralih kepada vape yang telah terbukti sebagai alternatif yang kurang berbahaya.”

 

“Memandangkan butiran percukaian belum diumumkan, MRECA menggesa Kerajaan mempertimbangkan kadar cukai yang sesuai untuk produk vape. Kadar cukai tidak boleh terlalu tinggi dan mengambil kira dinamik pasaran. Kadar cukai yang tinggi akan menyebabkan harga produk meningkat dengan ketara dan mendorong pengguna untuk mencari produk murah yang tidak dikawal.

 

 

Datuk Adzwan Ab Manas
          Datuk Adzwan Ab Manas

 

 

“Pada masa yang sama, peraturan mesti diperkenalkan dengan cepat untuk melengkapkan rangka kerja percukaian. Ini boleh dilakukan melalui pindaan kepada undang-undang sedia ada untuk memasukkan produk vape dan kami menggesa Kerajaan untuk melibatkan pemain industri dalam perbincangan berkaitan peraturan itu.”

 

“Dengan peraturan yang betul, MRECA berpendapat bahawa dasar GEG tidak perlu kerana ia akan memberi kesan kepada pemain industri tempatan. Kami juga percaya bahawa lebih banyak kajian dan perbincangan diperlukan untuk menilai kesan GEG." - DagangNews.com