Kerajaan Itali tolak hasrat Kumpulan KNM mahu jual FBM Hudson berharga RM76 juta kepada 2 syarikat Itali | DagangNews Skip to main content

Kerajaan Itali tolak hasrat Kumpulan KNM mahu jual FBM Hudson berharga RM76 juta kepada 2 syarikat Itali

KUALA LUMPUR 7 Jun - Kerajaan Itali telah menolak tawaran KNM Group Bhd untuk melupuskan keseluruhan pegangannya dalam FBM Hudson Italiana SpA (FBM Hudson) untuk €16.5 juta (RM76 juta) kepada BM Carpenterie, Oil and Gas Srl (BMC), dan Officine Piccoli SpA (Officine).

 

Harga saham syarikat dibuka setengah sen lebih rendah pada 9 sen hari ini, turun daripada penutupan semalam 9.5 sen.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Securities semalam, syarikat itu berkata salah satu syarat duluan bagi cadangan pelupusan, iaitu mendapatkan Kelulusan Kuasa Emas (Golden Power Clearance), telah ditolak oleh kerajaan Itali.

 

"Pada masa ini, pengurusan KNM sedang mengkaji dan berbincang dengan semua pihak yang berkenaan untuk melangkah ke hadapan.

 

"Perkembangan lanjut berhubung cadangan pelupusan itu akan diumumkan dalam masa terdekat," kata syarikat itu pada Khamis.

 

 

FBM Hudson Italiana SpA

 

 

Kuasa Emas kerajaan Itali merujuk kepada kuasanya untuk mengehadkan atau menghentikan sebarang pelaburan langsung asing dan transaksi korporat yang melibatkan aset strategik.

 

Ini adalah kali kedua kerajaan Itali menolak cadangan pelupusan syarikat itu.

 

Kerajaan Itali telah menolak cadangan penjualan KNM kepada Petro MAT FZCO Emiriah Arab Bersatu pada harga 22 juta euro, November lalu.

 

Sementara itu, resolusi yang dikemukakan oleh lima pemegang saham syarikat untuk melantik pengarah baharu telah ditolak pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 yang diadakan pada Khamis.

 

Pemegang saham Tan Khye Yinn, Chang Hui Kee, Mah Wai Leon dan Wang Hee Heng telah mencadangkan untuk pemilihan pada AGM itu, Wong Toh Sing, William H Vanvliet III, Wan Kamaruddin Wan Mohamed Ali dan Sakthi Kumar Ramadas sebagai pengarah syarikat.

 

Pemegang saham Sazini Abdullah telah mencadangkan Manfred Gustav Von Nostitz. - DagangNews.com