Kerajaan komited selamatkan Malaysia Airlines dengan `apa jua cara munasabah', kata PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan komited selamatkan Malaysia Airlines dengan `apa jua cara munasabah', kata PM Anwar

KUALA LUMPUR 3 Sept - Kerajaan komited untuk menyelamatkan Malaysia Airlines, yang baru-baru ini menghadapi cabaran operasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

"Saya ingin memberitahu Khazanah, MAG (bahawa) kita akan kekal komited untuk memastikan syarikat penerbangan kita terus berjaya," kata beliau yang juga Menteri Kewangan pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 Khazanah Nasional di ibu negara hari ini.

 

Anwar tidak menyatakan sama ada itu bermakna menyuntik lebih banyak wang, tetapi dalam sidang akhbar ringkas Anwar berkata kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk "menaikkan" syarikat penerbangan yang sedang bergelut itu "melalui apa jua cara yang munasabah".

 

Terdahulu dalam ucapannya pada sambutan ulang tahun 30 tahun Khazanah, beliau berkata walaupun usaha untuk memulihkan Malaysia Airlines telah dimulakan, ia akan mengambil masa.

 

Kerajaan membincangkan cara menyelamatkan syarikat penerbangan itu hampir setiap minggu dalam Kabinet tanpa gagal, katanya.

 

"Sebagai sebuah kerajaan, kita tetap komited untuk memastikan kejayaan syarikat penerbangan itu kerana ia adalah syarikat penerbangan nasional kita.

 

Katanya, kemerosotan prestasi MAS disebabkan kesilapan terdahulu akibat keputusan keputusan politik tidak telus dan sekali gus membuka ruang kepada kroni untuk merosakkan syarikat yang pernah dibanggakan selama ini.

 

Justeru itu katanya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan MAS kembali unggul sebagai peneraju syarikat penerbangan negara.

 

“Memandangkan soal Malaysia Airlines menjadi perbincangan hangat dan bahan media, kadang kala keputusan politik tidak telus dan memberikan peluang kepada satu dua kroni menjahanamkan syarikat dibanggakan

 

“Kerana kesilapan itu, ia terbeban kepada kita sehingga kini, jangan padam kenyataan sejarah itu, keputusan dibuat kerana niat dan tindakan mempertahankan beberapa kroni, meminggirkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

 

Dalam tempoh sebulan ini, MAS berdepan kira-kira enam insiden melibatkan masalah teknikal pesawat mi­lik MAS, sehingga menimbulkan persoalan pelbagai pihak mengenai keupayaannya.

 

Insiden terbaharu melibat­kan pesawat MH66 penerba­ngan dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan menggunakan armada Airbus 330-300 dilaporkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal kelmarin. - DagangNews.com