Kerajaan lakukan persediaan rapi sebelum luluskan kemasukan pekerja asing | DagangNews Skip to main content

Kerajaan lakukan persediaan rapi sebelum luluskan kemasukan pekerja asing

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Kerajaan akan membuat persediaan rapi termasuk mengambil kira faktor kesihatan pekerja asing sebelum meluluskan kemasukan mereka ke negara ini.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan masih belum mengumumkan kebenaran membawa masuk pekerja asing kerana mereka perlu disahkan bebas daripada sebarang jangkitan dan penularan COVID-19 selain sudah melengkapkan pengambilan vaksin.

 

Beliau berkata, selain keselamatan membabitkan kemasukan menggunakan pasport atau dokumen perjalanan yang sah, kerajaan juga perlu menjamin keselamatan kesihatan rakyat negara ini.

 

Katanya, pemilihan pekerja asing dari negara tertentu juga penting supaya tidak membabitkan penduduk dari zon merah, justeru itu ia akan mengambil masa kerana penelitian yang agak lama.

 

"Setiap perkara yang ingin diadakan perlu ada kepastian terlebih dahulu. Saya akui kemasukan pekerja asing ini bertujuan membantu dari segi ekonomi, namun apa akan jadi sekiranya varian baharu COVID-19 dikesan di negara ini.

 

"Siapa perlu disalahkan nanti sekiranya itu berlaku," katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Imigresen 2021 hari ini, lapor Berita Harian.

 

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, yang mendakwa kenaikan harga barangan ketika ini disebabkan kegagalan kerajaan menangani isu kekurangan tenaga kerja.

 

Hamzah berkata, setakat ini seramai 120,000 pekerja asing sudah mendaftar menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) khususnya bagi memenuhi keperluan sektor perladangan selain turut menerima pendaftaran seramai 80,000 pekerja asing yang masih belum menetapkan sektor mana yang mereka ingin bekerja.

 

Selain itu, katanya, Jabatan Imigresen juga sudah menghantar lebih 200,000 pekerja asing pulang ke negara asal menerusi Program Rekalibrasi Pulang. - DagangNews.com