Kerajaan lulus 22 projek RE di bawah mekanisme tarif galakan, sokong aspirasi peralihan tenaga | DagangNews Skip to main content

Kerajaan lulus 22 projek RE di bawah mekanisme tarif galakan, sokong aspirasi peralihan tenaga

SEDA Malaysia meluluskan pembangunan bagi pelaksanaan 22 projek RE daripada sumber biogas dan biojisim berjumlah 36.534 MW di bawah mekanisme Tarif Galakan (FiT) yang akan membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) seawal 2027. / Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 18 Jan - Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia meluluskan pembangunan bagi pelaksanaan 22 projek Tenaga Boleh Baharu (RE) daripada sumber biogas dan biojisim berjumlah 36.534 megawatT (MW).

 

Kelulusan tersebut dibuat di bawah mekanisme Tarif Galakan (FiT) yang akan membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) seawal 2027, kata kenyataan kementerian itu hari ini.

 

"Dalam menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai 70 peratus campuran kapasiti RE dalam pembekalan elektrik menjelang tahun 2050, kerajaan telah mengumumkan penawaran dan pembukaan permohonan kelulusan FiT secara e-bidding bagi tiga sumber RE iaitu biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil mulai 5 hingga 26 Julai 2023.

 

"Hasilnya sebanyak 34 permohonan telah diterima," kata Kementerian peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

 

Menurut kenyataan itu, penilaian teknikal dan kewangan telah dilakukan oleh SEDA terhadap kesemua permohonan yang telah dikemukakan dan sebanyak 22 permohonan yang memenuhi kriteria teknikal dan kewangan telah diluluskan.

 

"Ini merangkumi 21 projek dengan jumlah kuota 29.534MW untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biogas dan satu projek dengan jumlah kuota 7.0MW untuk penjanaan tenaga elektrik daripada sumber biojisim," katanya.

 

Jelas Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, kelulusan pelaksanaan projek RE baharu di bawah mekanisme tarif galakan ini akan mempelbagaikan sumber penjanaan RE selain sumber solar dan seterusnya meningkatkan lagi daya harap pembekalan elektrik negara.

 

"Pada masa yang sama, pembangunan projek-projek RE yang diluluskan ini turut dijangka berupaya mewujudkan nilai pelaburan baharu dalam industri RE sehingga RM372 juta," jelasnya.

 

Maklumat lanjut mengenai keputusan e-bidding tahun 2023 di bawah mekanisme tarif galakan yang dikendalikan SEDA Malaysia ini boleh diperoleh melalui laman web SEDA.  - DagangNews.com