KUALA LUMPUR 12 Sept - Kerajaan meluluskan peruntukan RM5 juta bagi menggalakkan perkembangan syarikat tempatan dalam industri bioteknologi menerusi program Bio-based Accelerator (BBA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kelulusan itu selaras perbincangan antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Kementerian Kewangan yang mengadakan sesi konsultasi berhubung perkara itu.
Katanya, BBA dilaksanakan Bioeconomy Corporation amat signifikan memandangkan MOSTI mempunyai ekosistem yang kondusif bagi menyokong pembangunan industri bioteknologi negara untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia, Berita Harian melaporkan.
"Satu lagi permintaan MOSTI akan ditunaikan dan kerajaan meluluskan peruntukan RM2 juta bagi membolehkan Pameran BioMalaysia dapat dianjurkan pada 2023.
"Kita berharap dengan peruntukan ini, pameran itu dapat dijayakan dan menarik lebih ramai pemain industri serta pelabur asing dan tempatan," katanya mengumumkan perkara itu pada pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Syafik Abdullah. - DagangNews.com