KUALA LUMPUR 28 Jan - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengoptimumkan penggunaan fasiliti sukan mereka bagi pembangunan belia dan sukan melibatkan pelajar dan guru.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, usaha dan pendekatan bagi memupuk budaya sukan dalam kalangan pelajar itu dibincangkan ketika pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
"Selain itu, pembangunan bakat sukan daripada peringkat awal anak-anak sememangnya menjadi tumpuan KPM dan KBS. Terkini, Program Pembangunan dan Pencarian Bakat (MyTID KPM-KBS) antara yang sedang diusahakan.
"Aspek pembangunan belia juga perlu diberi perhatian bagi melahirkan generasi pemimpin negara yang berwibawa," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berharap usaha KPM dan KBS melalui pelbagai pendekatan strategik dapat melahirkan belia negara cemerlang serta memajukan sukan untuk seluruh rakyat dapat direalisasikan sepertimana dirancang. - DagangNews.com