Kerajaan perkenal mekanisme interim pembayaran semula kepada pemilik kenderaan logistik yang belum terima kad fleet | DagangNews Skip to main content

Kerajaan perkenal mekanisme interim pembayaran semula kepada pemilik kenderaan logistik yang belum terima kad fleet

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerajaan telah membangunkan mekanisme interim melibatkan pembayaran semula secara tunai kepada pemilik kenderaan logistik yang diluluskan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 tetapi belum mendapat kad fleet. 

 

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, pemilik kenderaan kenderaan logistik yang diluluskan dan belum menerima kad fleet boleh memohon pembayaran semula itu bermula pada 1 Julai 2024 melalui portal BUDI Madani di https://budimadani.gov.my. 

 

Pemohon hendaklah menyimpan resit pembelian diesel untuk tujuan audit. 

 

 

 

Untuk layak menerima pembayaran semula ini, pemilik kenderaan logistik hendaklah membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada KPDN di bawah SKDS 2.0 selewat-lewatnya pada 30 Jun 2024. 

 

Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jenis kenderaan layak subsidi diesel, pertambahan kuota dalam pertimbangan kerajaan  - KPDN

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sedang giat memastikan penyasaran subsidi mencapai objektifnya, terutamanya melibatkan pelaksanaan SKDS 2.0 yang membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter.

 

“Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kad fleet diesel subsidi akan ada had pengisian, kata Timbalan Menteri Kewangan

 

"Pembayaran semula secara tunai ini ialah langkah sementara kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel,” katanya.

 

Oleh itu, Kerajaan menyarankan supaya semua pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 untuk segera memohon kad fleet secepat mungkin melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my. - DagangNews.com