Kerajaan struktur semula ekonomi berlandaskan tiga keutamaan strategik - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Kerajaan struktur semula ekonomi berlandaskan tiga keutamaan strategik - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat sempena Wacana Membangun Malaysia Madani di Putrajaya pada 19 Januari 2023. - Gambar BERNAMA

PUTRAJAYA 19 Jan - Kerajaan akan menstruktur semula ekonomi negara berlandaskan kepada tiga keutamaan strategik iaitu membasmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi berteraskan konsep Malaysia Madani.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan dan pengembangan ekonomi negara perlu dicapai dalam konteks yang lebih luas iaitu ekonomi manusiawi yang mengutamakan keperluan rakyat.

 

"Khususnya kepada golongan miskin dan terpinggir serta membebaskan mereka daripada cengkaman kemiskinan dalam sistem kapitalisme yang tidak terkawal yang memupuk ketidaksamaan kekayaan dan ketidaksamaan taraf hidup," katanya ketika menyampaikan amanat sempena Wacana Membangun Malaysia Madani, di sini, hari ini, lapor Bernama.

 

Wahana utama yang menjadi teras Malaysia Madani akan bertunjangkan kepada empat Teras Strategik Utama iaitu Membina Semula Ekonomi, Menjamin Kesejahteraan Insan, Reformasi Institusi Demokrasi dan Perundangan serta Mewujudkan Pentadbiran Beramanah.

 

Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar merangka konsep MADANI sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan, sekaligus mengoptimumkan fungsi jentera kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar berkaitan. - DagangNews.com