Kerajaan terus galak pelaburan langsung asing pelbagaikan produk agrikomoditi - PM | DagangNews Skip to main content

Kerajaan terus galak pelaburan langsung asing pelbagaikan produk agrikomoditi - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) bagi mempelbagaikan produk agrikomoditi dengan nilai tambah tinggi.

 

Ismail Sabri berkata, bagi produk sawit, syarikat-syarikat milik Kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengeluarkan 'hydrotreated vegetable oil' (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia melibatkan FDI bernilai RM6 bilion.

 

Beliau berkata, syarikat dari China ialah Shanxi Construction Investment Group Co. Ltd. (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS), manakala syarikat Malaysia pula Pengerang Maritime Industries Sdn. Bhd. (Benalec) dan Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC).

 

"Usaha sama ini bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan. Pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di Malaysia ini merupakan salah satu inisiatif untuk memacu sektor sawit Malaysia ke arah industri berteknologi dan bernilai tinggi," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACES) di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), di sini hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, Malaysia turut terkenal sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah yang berkualiti tinggi terutamanya sarung tangan getah yang telah menembusi hampir 190 buah negara.

 

Beliau berkata, sejajar dengan evolusi yang berlaku dalam rantaian penghasilan produk getah masa kini, Malaysia telah mempelbagaikan produk berasaskan getah terutama sekali yang bernilai tinggi. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Terbaharu hasil penyelidikan yang diterajui oleh anak Malaysia dengan kerjasama universiti terkemuka dunia, komposit getah generasi baharu telah berjaya dicipta hasil kombinasi ekstrak graphene dan getah asli. 

 

"Komposit getah baharu ini akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia," katanya.

 

Katanya, penemuan baharu ini membolehkan Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baharu yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara.

 

Beliau berkata, Malaysia juga perintis dalam pelaksanaan pensijilan hutan tropika yang dikenali sebagai Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia.

 

"Malah produk kayu bersijil daripada Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 

"Selain itu, sektor perabot negara juga sedang melalui transformasi dan kita kini boleh berbangga kerana mampu menghasilkan reka bentuk perabot yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa di bawah label Tanggam," katanya.

 

Beliau sentiasa berharap sektor agrikomoditi dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat. - DagangNews.com