KUALA LUMPUR 4 Okt - Kenanga Research berpendapat bahawa kereta baharu masih dianggap barang mewah yang mampu untuk dimiliki bagi kebanyakan isi rumah di Malaysia walaupun inflasi tinggi dan ekonomi global perlahan.
“Kami kini melihat peluang lebih besar dalam segmen mampu milik kerana ia akan kurang terjejas oleh subsidi bahan api bersasar, yang mungkin menjejas permintaan untuk kenderaan pasaran pertengahan kerana ia akan menghakis kuasa perbelanjaan kumpulan M40,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor automotif dan unjuran jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi 2023 sebanyak 720,000 unit, yang akan mencapai paras yang direkod pada 2022, dan memperkenalkan TIV 2024 sebanyak 710,000 unit.
Menurut firma itu, keterlihatan pendapatan industri masih kukuh, disokong tempahan tertunggak sebanyak 235,000 unit.
Kenanga Research memetik MBM Resources Bhd sebagai pilihan utamanya bagi sektor ini dengan saranan ‘outperform’ dan harga sasaran (TP) RM4.70 sesaham memandangkan kumpulan itu memberi tumpuan kepada segmen mampu milik dan menawarkan hasil dividen yang menarik kira-kira 12%.
Dalam ruang jenama bukan nasional, firma penyelidikan itu berkata pembuat kereta beralih daripada segmen margin rendah yang sangat kompetitif seperti SUV tujuh tempat duduk dan memberi tumpuan kepada produk premium yang akan menarik kepada kumpulan berpendapatan sederhana seperti yang ditawarkan oleh Bermaz Auto Bhd (outperform; TP: RM3.22).
Honda misalnya, menggantikan varian tujuh tempat duduk Honda BR-V dengan WR-V (SUV kecil dengan lima tempat duduk), memperoleh tempahan 7,300 unit dan 3,300 unit dihantar hanya dalam masa beberapa bulan selepas dilancarkan.
Di samping itu, Kenanga Research berkata jualan kenderaan akan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta insentif kemudahan kenderaan elektrik lain sehingga 2025 untuk unit import sepenuhnya (CBU) dan 2027 untuk pemasangan tempatan (CKD).
“Sementara itu, janji kerajaan untuk membolehkan pengendali pusat pengecasan mendapat kelulusan lebih pantas bagi pemasangan memberikan keselesaan, kerana pada masa ini hanya 1,246 stesen pengecas EV telah dibina setakat ini,” tambahnya.
Selain tunggakan tempahan yang kukuh sebanyak 235,000 unit, firma itu berkata keterlihatan pendapatan pemain juga akan disokong oleh peningkatan margin, disebabkan model baharu seperti Perodua Axia serba baharu, yang berharga antara 11% hingga 14% lebih tinggi pada RM38,600 hingga RM49,000, tetapi masih mendapat sambutan yang luar biasa, dengan purata tempoh menunggu sehingga enam bulan.
“Peningkatan margin juga akan disokong oleh: (i) penurunan harga komoditi dan komponen utama; (ii) penstabilan kadar pertukaran dolar AS/ringgit; dan (iii) penurunan beransur-ansur dalam inventori kos tinggi kerana pembuat kereta meningkatkan pengeluaran untuk menghantar tempahan tertunggak,” katanya. - DagangNews.com