Kerjasama Bintai Healthcare - NGT Solutions edar vaksin Sinopharm | DagangNews Skip to main content

Kerjasama Bintai Healthcare - NGT Solutions edar vaksin Sinopharm

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 7 Sept. - Bintai Kinden Corporation Bhd. menerusi anak syarikatnya, Bintai Healthcare Sdn. Bhd. bakal memperluaskan lagi penawaran produk penjagaan kesihatan menerusi pengedaran bersama vaksin COVID-19 Sinopharm kepada sektor swasta di Malaysia.

 

Langkah itu akan dilaksanakan menerusi perjanjian kerjasama perniagaan antara Bintai Healthcare dengan NGT Solutions (M) Sdn. Bhd., iaitu Penganjur Penjagaan Kesihatan yang dilantik Duopharma Biotech Bhd. 

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, kerjasama antara Bintai Healthcare dan NGT Solutions amat penting kepada Bintai Group untuk meningkatkan keupayaannya sebagai penyedia penjagaan kesihatan untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih meluas termasuk peranti perubatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan di Malaysia. 

 

Katanya, kumpulan menyasarkan untuk mencapai vaksinasi kepada 5,000 individu dalam tempoh 3 bulan pertama apabila ia sudah bersedia untuk sektor swasta. 

 

"Kami sudah memiliki kemudahan untuk menyimpan dan mengedarkan vaksin COVID-19 kerana Bintai Healthcare merupakan pengedar eksklusif bagi Greenie Medi Cold Chain Box di negara ini.

 

"Kotak sejuk beku perubatan ini direka khusus bagi penyimpanan dan pengedaran peranti perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Awal tahun ini, Bintai Healthcare dilantik sebagai pengedar eksklusif kotak rangkaian sejuk Greenie Medi Cold Chain Box, yang direka untuk penyimpanan dan pengedaran vaksin COVID-19 di Asia Tenggara.

 

Untuk rekod, Duopharma pada 16 Julai lalu diberikan kelulusan bersyarat bagi pendaftaran produk oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi vaksin Sinopharm untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 di Malaysia.

 

Dengan kelulusan itu, Duopharma bersedia untuk membekalkan vaksin kepada sektor swasta melalui hak pemasaran dan pengedaran tempatan yang telah diperoleh bagi vaksin yang dihasilkan Sinopharm, China.

 

Di bawah perjanjian kerjasama itu, NGT Solutions sebagai Penganjur Penjagaan Kesihatan akan menyediakan tenaga kerja dan sumber klinikal termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) dan peralatan perubatan untuk mengakses, memvaksin dan memantau individu serta menguruskan kecemasan ketika proses vaksinasi. 

 

Bintai Healthcare adalah syarikat berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan sebagai wakil sah, pengedar dan pengimport peranti perubatan di negara ini.

 

Perjanjian ini dijangka tidak memberi sebarang impak ke atas modal saham berbayar Bintai Kinden tetapi akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa akan datang. - DagangNews.com