KUALA LUMPUR 12 April - PublicInvest Research menjangkakan kerjasama DRB-HICOM Berhad dan Geely akan menarik lebih banyak vendor dan pelabur baharu bagi mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Automotive Hi-Tech Valley (AHTV).
Firma penyelidikan itu berkata, kerjasama itu juga akan meneroka peluang untuk penubuhan Institut Penyelidikan atau Universiti di AHTV dan membangunkannya sebagai sebuah Bandar Pintar .
Katanya, kerjasama itu juga ke arah memajukan AHTV di bawah mekanisme kerja pembangunan bersama Malaysia-China.
"Kami positif dengan pembangunan itu kerana penglibatan Geely yang terkenal dengan kepakaran mereka dalam ekosistem teknologi dan mobiliti yang akan menjadi pemangkin kepada AHTV.
"Pembangunan itu akan menjadi pendorong kepada pembuat kenderan dan komponen dari China dan negara lain untuk melabur dalam menyediakan kemudahan di AHTV.
BACA JUGA: DRB-HICOM tandatangani MoU dengan Kerajaan Negeri Perak untuk projek AHTV
"Walaupun butiran lanjut mengani kerjasama itu masih tidak didedahkan, kami tetap mengekalkan unjuran pendapatan kami dan kekal positif dengan perkembangan DRB dan pada masa sama mengekalkan saranan 'outperform' pada harga sasaran (TP) RM1.95," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Pembangunan AHTV bertujuan mengubah landskap industri automotif dengan ekosistem bersepadu yang akan menjadi pemangkin untuk menggiatkan semula sektor automotif domestik selaras dengan hala tuju Dasar Automotif Negara (NAP) 2020.
Ia bagi memastikan industri automotif Malaysia terus berada dalam kedudukan terbaik, jika tidak lebih maju berbanding negara jiran.
Menerusi sistem, infrastruktur, dan sokongan pihak berkepentingan yang betul, AHTV akan berada pada kedudukan yang baik untukmenarik pelaburan daripada pemain industri di rantau ini, memacu pertumbuhan dan keupayaan industri automotif tempatan. - DagangNews.com