LUMUT 11 Sept - Kapal Maritim (KM) Gagah yang berusia 40 tahun berjaya melalui proses penggantian jentera utama dan pasang pulih (‘repowering & refit’) bagi beroperasi semula untuk melaksanakan tugas rondaan.
Proses naik taraf sepenuhnya ini dilaksanakan di limbungan Universiti Kuala Lumpur Institut Kejuruteraan Teknologi Marin (UniKL MIMET) di sini yang mengambil masa 20 bulan.
Skop kerja utama dalam 'repowering & refit' itu antaranya ialah penggantian enjin dan penyelenggaraan struktur badan kapal serta pelbagai sistem sokongan utama.
Ini merangkumi jentera mekanikal, sistem elektrikal dan elektronik, dan kelengkapan lain supaya jangka hayat kapal dapat dipanjangkan dan mampu beroperasi dengan lebih lama lagi.
Projek itu telah membuka peluang kepada 117 orang mahasiswa UniKL MIMET untuk mempelajari dan memahami kaedah sesuatu projek bertaraf industri sebenar.
Selain itu, 9 orang protégé dari alumni UniKL MIMET turut terlibat di dalam projek ini.
Pengurus Besar UniKL Resources Sdn. Bhd, Anuar Berahim berkata, KM Gagah siap dibaik pulih sepenuhnya di limbungan UniKL MIMET pada 10 September lalu.
Menurut beliau, kapal itu juga telah melalui fasa ujian di pelabuhan pada 23 Ogos diikuti di laut pada 28 Ogos di Selat Melaka.
“KM Gagah kini berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 7 hari tanpa ulang bekal serta mampu mencapai kelajuan sehingga 21.7 knot.
“Kami berharap KM Gagah mampu memberikan outcome dan nilai pulangan pelaburan (ROI) kepada kerajaan melalui penguatkuasaan yang bakal dijalankan.
“Ini mampu mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan yang berlaku di kawasan perairan negara khususnya di Selat Melaka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan KM Gagah daripada UniKL Resources Sdn. Bhd. kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di limbungan UniKL MIMET di sini.
Hadir sama Timbalan Presiden Jaringan Antarabangsa, Industri & Institusi, UniKL, Prof. Ir. Dr. Azmi Hassan dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kejuruteraan APMM, Kepten Maritim Rizal Hishamuddin.
KM Gagah yang dibina pada 1980 bekas kapal peronda Pasukan Polis Marin selama 26 tahun sebelum diserahkan kepada APMM pada Jun 2005.
Kapal berukuran panjang 39.5 meter (m), lebar 7m dan berat 221 tan itu mempunyai kapasiti 27 kru dan turut dilengkapi dengan sebuah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB).
Kelengkapan lain ialah radar i-band bagi memastikan pemantauan secara meluas dapat dilaksanakan di perairan negara.
Dengan usia kapal 44 tahun, kerja-kerja 'repowering & refit' itu dapat memastikan kecekapan kapal untuk beroperasi.
Sementara itu, Rizal memberitahu, kapal tersebut diserahkan kembali kepada APMM setelah kerja-kerja penyelenggaraan siap dilaksanakan.
Menurut beliau, program refit ini dijalankan oleh UniKL Resources Sdn. Bhd. untuk APMM di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama UniKL MIMET dan Glide Marine Sdn. Bhd.
“Kerja-kerja penyelenggaraan KM Gagah telah menggunakan tenaga pakar dari UniKL MIMET dan tenaga mahir tempatan daripada pemain industri.
“Selain projek ini turut dipantau oleh Ship Classification Malaysia (SCM) yang memastikan kerja-kerja dilakukan mengikut piawaian antarabangsa.
“Dengan adanya KM Gagah membantu APMM memperkukuhkan lagi pengoperasian khususnya di perairan negeri Perak,” ujarnya. - DagangNews.com