Kerjasama strategik OYO, Microsoft ubah industri pelancongan secara digital  | DagangNews Skip to main content

Kerjasama strategik OYO, Microsoft ubah industri pelancongan secara digital 

Naib Presiden dan Ketua OYO Malaysia & Singapura, Tan Ming Luk

 

 


KUALA LUMPUR 13 Sept. - Microsoft dan syarikat teknologi pelancongan global, OYO, menjalin perikatan strategik berbilang tahun untuk sama-sama membangunkan teknologi hospitaliti dan pelancongan generasi baharu. 

 

Menerusi kerjasama ini, OYO akan mengguna pakai Microsoft Azure sebagai pemboleh utama untuk memacu inovasi berasaskan awan dan mengubah industri teknologi hospitaliti dan pelancongan. 

 

Penyelesaian yang terhasil bertujuan memberi manfaat kepada hotel-hotel dan inap desa bersaiz kecil dan sederhana. Microsoft juga membuat pelaburan ekuiti strategik dalam OYO. 

 

Ketua Pegawai Operasi Global dan Ketua Pegawai Produk OYO Hotels & Homes, Abhinav Sinha berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Microsoft dalam usaha berterusan memperkukuhkan peluang perniagaan bagi pemilik hotel dan kediaman kecil dan sederhana, pada masa sama mendefinisikan semula pengalaman pelancong. 

 

"Teknologi dan produk kami telah membantu rakan niaga memacu kecekapan operasi dan terus memperbaiki pengalaman tetamu. 

 

"Jadi, kerjasama dengan Microsoft ini akan mempercepatkan penyampaian produk kami kepada perniagaan-perniagaan kecil yang menjalin kerjasama dengan OYO, membolehkan kami mewujudkan lebih banyak impak menerusi ekosistem teknologi bersepadu yang terdapat di awan bagi perniagaan di lokasi terpencil dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebagai sebahagian daripada perikatan ini, OYO akan membangunkan pengalaman Bilik Pintar bagi pelancong menerusi platform OYO, seperti pengalaman dalam bilik yang premium dan dikhususkan bagi tetamu. 

 

Menggunakan Azure IoT Microsoft, pengalaman yang akan tersedia termasuk daftar masuk layan diri yang disokong pendaftaran digital ketibaan dan pemergian serta kemudahan Kenali Pelanggan Anda (KYC) kendiri bersama kunci pintar dan bantuan maya kendalian IoT. 

 

Selain sama-sama berinovasi, OYO juga akan mula berkongsi bebanan tugas sedia ada di sistem Microsoft Azure, menerima pakai Microsoft 365 untuk kerjasama dan produktiviti yang lebih baik, serta bertukar kepada Github Enterprise untuk mempercepatkan pembangunan teknologi secara selamat. 

 

Dalam usaha membolehkan teknologi OYO mudah diakses di serata dunia, syarikat berkenaan juga berusaha untuk menghasilkan beberapa produk bagi memudahkan penglibatan rakan niaganya. 

 

Pengenalan solusi perisian inovatif di peringkat global ini akan turut melibatkan Malaysia. Mengulas mengenai perkara ini, Naib Presiden dan Ketua OYO Malaysia & Singapura, Tan Ming Luk berkata, dalam sektor hospitaliti yang padat seperti di Malaysia, OYO telah menempa nama sebagai sebuah platform asset-light yang menekankan teknologi bagi memperkasakan PKS hospitaliti. 

 

"Ini dilaksanakan menerusi penawaran pilihan lengkap teknologi yang boleh dimanfaatkan dengan mudah bagi meningkatkan pendapatan serta mempermudahkan operasi, selain memudahkan pelancong mencari dan menempah penginapan yang boleh dipercayai pada harga berpatutan, dalam cara yang selamat," katanya. - Dagangnews.com