Kerjaya Prospek diunjur raih untung bersih 10% daripada projek apartmen servis bernilai RM170.94 juta - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek diunjur raih untung bersih 10% daripada projek apartmen servis bernilai RM170.94 juta - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - Kenanga Research mengunjurkan Kerjaya Prospek Group Berhad raih untung bersih 10% daripada kontrak pembinaan apartmen servis di Pulau Andaman, Pulau Pinang, baru-baru ini.

 

Menerusi kontrak itu, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd akan melaksanakan kerja-kerja bangunan utama 45 tingkat, yang terdiri daripada satu blok pangsapuri servis 38 tingkat dengan 380 unit, tempat letak kereta bawah tanah dua tingkat dan tempat letak kereta lima tingkat.

 

"Kami berpandangan positif terhadap kejayaan kumpulan itu meraih kontrak pertama bagi FY24 dan sekali gus meningkatkan buku pesanan tertunggaknya kepada RM4.5 bilion.

 

"Buku tender kumpulan itu kini berada pada paras RM2 bilion yang terdiri daripada kontrak pembinaan bangunan selain penambakan tanah daripada Eastern & Oriental Berhad (E&O), gudang industri syarikat multinasional menerusi kerjasama dengan Samsung C&T selain pekerjaan bangunan pihak ketiga di Lembah Klang," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek raih kontrak RM170.94 juta bina apartmen servis di Pulau Pinang

 

Firma penyelidikan itu menyukai Kerjaya Prospek kerana kaedah pembinaan acuannya yang inovatif dengan margin keuntungan yang tinggi selain pasukan pengurusannya yang praktikal dengan rekod pelaksanaan projek yang cemerlang.

 

Katanya, keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh buka pesanan tertunggak yang besar selain pesanan berulang daripada syarikat berkaitan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.67 sesaham," katanya.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk kemerosotan dalam prospek pekerjaan pada masa hadapan, peningkatan kos input dan ganti rugi pasti (LAD) daripada lebihan kos dan kelewatan. - DagangNews.com