Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM111.8 juta bina apartmen servis di Setapak | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM111.8 juta bina apartmen servis di Setapak

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Kerjaya Prospek Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM111.8 juta bagi menjalankan projek pembangunan kediaman di Setapak, Kuala Lumpur.

 

Syarikat pembinaan itu dalam satu kenyataan media hari ini berkata, projek itu melibatkan pembinaan kerja bangunan utama 52 tingkat, merangkumi blok apartmen servis 42 tingkat dan tempat letak kereta lapan tingkat antara lain.

 

Kerja-kerja pembinaan dijangka siap dalam tempoh 40 bulan mulai 16 Januari 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata ini merupakan kontrak pembinaan keempat kumpulan itu bagi tahun ini, menjadikan penerimaan kontrak, setakat ini, berjumlah RM377.9 juta.

 

“Kami kekal berhati-hati optimis terhadap prestasi kewangan kami, pada masa hadapan, disokong oleh buku pesanan besar kami berjumlah RM4.7 bilion, yang dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Kontrak itu telah dianugerahkan oleh Kerjaya Property Sdn Bhd (KPSB), iaitu anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek.

 

“KPSB ialah pelanggan lama Kerjaya Prospek yang dipercayai dan boleh diharap. Memandangkan kami sudah biasa dengan tawaran dan jangkaan satu sama lain, kami yakin pembangunan kediaman ini akan dilaksana dan dihantar mengikut jadual.

 

 “Secara dalaman, kami mengekalkan trajektori syarikat untuk mencari kerja lumayan tambahan, sambil memberi penekanan kepada keperluan penting untuk pelaksanaan projek yang berjaya,” tambahnya.

 

Saham Kerjaya Prospek ditutup lebih rendah 1 sen atau 0.6% pada RM1.69 ketika rehat tengah hari, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM2.14 bilion. - DagangNews.com