KUALA LUMPUR 6 Nov - Kerjaya Prospek Group Berhad telah menerima kontrak bernilai RM104.7 juta untuk pembinaan dan penyiapan 69 unit rumah berkembar dan teres tiga tingkat bagi projek pembangunan Pulau Andaman di Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat pembinaan itu berkata anak syarikatnya Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd telah menerima surat anugerah daripada anak syarikat Eastern & Oriental Berhad, Persada Mentari Sdn. Bhd.
Menurut kumpulan itu, projek terbabit akan dijalankan dalam tempoh 26 bulan, bermula 1 Disember 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata, susulan penambahan kontrak baharu tersebut, jumlah kontrak tahunan kumpulan mencecah RM1.6 bilion, menjadikan buku pesanan tertunggaknya bernilai RM4.8 bilion.

“Walaupun kami telah melebihi sasaran jumlah kontrak sebanyak RM1.2 bilion untuk 2023, kami akan terus gigih mencari lebih banyak projek untuk meningkatkan lagi buku pesanan, memastikan ia mampan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau menambah bahawa aliran masuk berterusan kontrak, terutamanya daripada syarikat yang telah bekerjasama dengannya sebelum ini, membuktikan kualiti kerja dan perkhidmatan terbaik disediakan kepada pelanggan.
“Dengan memanfaatkan rekod prestasi dan kepakaran meluas selama lebih tiga dekad, kami optimistik kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang ada disokong pertumbuhan sektor pembinaan, pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com








