Kerjaya Prospek raih kontrak RM226 juta bina pangsapuri di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

Kerjaya Prospek raih kontrak RM226 juta bina pangsapuri di Pulau Pinang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

 

KUALA LUMPUR 10 Okt - Kerjaya Prospek Group Berhad telah memperoleh kontrak bernilai RM226 juta untuk cadangan projek pembangunan di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

 

Kerjaya Prospek dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata anak syarikatnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd menerima surat anugerah daripada Aspen Vision City Sdn Bhd untuk projek pembinaan terbabit yang dijangka bermula pada 27 Oktober 2023 dan dijadualkan siap dalam tempoh 42 bulan.

 

Projek itu melibatkan kerja reka bentuk dan pembinaan dua blok pangsapuri 37 tingkat dengan 980 unit kediaman, serta podium tujuh tingkat yang terdiri daripada tempat letak kereta, kemudahan rekreasi komuniti dan lot kedai.

 

"Kontrak ini dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh empat tahun akan datang," katanya.

 

Secara berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek, Tee Eng Tiong berkata kawasan tersebut memilik peluang meluas memandangkan Batu Kawan merupakan bandar satelit ketiga Pulau Pinang dan lanjutan semula jadi dari Pulau Pinang.

 

 

Tee Eng Tiong
Tee Eng Tiong

 

 

Pada asasnya, beliau berkata kontrak ini adalah bukti keupayaan, kepakaran dan rekod prestasi kukuh kumpulan, di mana mereka telah melaksanakan projek pembinaan yang cemerlang secara konsisten, menjunjung komitmen terhadap inovasi, kualiti dan kemampanan.

 

“Kontrak terbaharu ini, yang merupakan kontrak kelapan Kerjaya Prospek bagi tahun ini, menjadikan kemenangan kontrak tahun setakat ini bernilai RM1.5 bilion, mengatasi sasaran tahunan kami.

 

“Susulan kontrak ini, buku pesanan tertunggak kami kini berjumlah RM4.7 bilion, yang meningkatkan lagi keterlihatan kewangan kami untuk tahun-tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Saham Kerjaya Prospek ditutup tidak berubah pada RM1.37 dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.7 bilion. - DagangNews.com