Kerugian bersih Aneka Jaringan menguncup kepada RM3.7 juta dalam 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih Aneka Jaringan menguncup kepada RM3.7 juta dalam 3QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerugian bersih Aneka Jaringan Holdings Berhad (Aneka Jaringan) menguncup kepada RM3.7 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (3QFY23), berbanding kerugian bersih RM7.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Sementara itu, pendapatan syarikat pembinaan tersebut pada suku dalam tinjauan telah meningkat 10% kepada RM41.2 juta daripada RM37.5 juta sebelumnya.

 

Secara kumulatif, sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) menyaksikan kerugian bersih kumpulan berkurang kepada RM13.2 juta daripada RM19.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Pendapatan Aneka Jaringan pada 9MFY23 pula meningkat sebanyak 13% kepada RM137 juta berbanding RM121.1 juta sebelumnya.

 

Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui berkata kumpulan itu optimistik secara berhati-hati tentang prestasi dalam suku kewangan akan datang.

 

 

Pang Tse Fui
Pang Tse Fui

 

 

“Sehingga kini, kami telah memperoleh sejumlah RM304.9 juta dalam projek baharu, dengan projek terbaharu diperoleh sejak laporan suku tahunan interim terakhir berjumlah RM193.3 juta. Dengan projek baharu ini, tumpuan kami kekal pada pelaksanaan tepat pada masanya.

 

“Sementara itu, PT Aneka Jaringan Indonesia terus memenuhi jangkaan pertumbuhan kami, menyumbang secara positif kepada prestasi kumpulan,” ujar beliau.

 

Menurut kumpulan itu, jumlah buku pesanan Aneka Jaringan berjumlah RM95.2 juta setakat suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), yang mana operasi Malaysia menyumbang RM88.9 juta, sementara operasi Indonesia menyumbang RM6.3 juta.

 

Saham Aneka Jaringan ditutup tidak berubah pada 22.5 sen hari ini, memberikannya modal pasaran sebanyak RM146.6 juta. - DagangNews.com