Kerugian bersih Lotte Chemical Titan meningkat kepada RM327.7 juta pada 2QFY23 | DagangNews Skip to main content

Kerugian bersih Lotte Chemical Titan meningkat kepada RM327.7 juta pada 2QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Kerugian bersih Lotte Chemical Titan Holding Berhad meningkat kepada RM327.7 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding kerugian bersih RM149.4 juta pada tahun lalu.

 

Hasil kumpulan bagi suku itu juga menyusut kepada RM1.9 bilion berbanding RM2.8 bilion pada tahun lalu disebabkan harga dan jumlah jualan produk yang lebih rendah.

 

Katanya, kemerosotan itu adalah disebabkan permintaan pasaran yang lemah kesan daripada persekitaran luaran yang tidak menentu, seperti kenaikan kadar faedah oleh bank pusat untuk melawan inflasi serta kos operasi lebih tinggi.

 

Dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2023 (1HFY23), kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM3.8 bilion dan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM559.3 juta.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Lotte Chemical Titan, Park Hyun Chul berkata, pihaknya telah mengalami tempoh yang mencabar akibat tekanan persekitaran luaran dan ketidastabilan pasaran dijangka kekal tinggi berikutan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan apabila penggubal dasar menaikkan kadar faedah untuk mengurangkan inflasi.

 

Katanya, kapasiti baharu yang secara beransur-ansur muncul dalam aliran menimbulkan tekanan kepada harga petrokimia.

 

"Pihak pengurusan kekal dengan rancangan kecekapan pengeluaran sambil mengekalkan pengurusan kos yang ketat untuk memastikan kedudukan kewangan kumpulan kekal sihat," katanya.

 

Beliau berkata, projek Lotte Chemical Indonesia Ethylene (LINE) di Indonesia sedang berjalan mengikut jadual dan ditetapkan untuk menjadi pemacu pertumbuhan bagi kumpulan untuk mengisi jurang Indonesia sebagai pengimport bersih produk petrokimia. Projek itu dijadualkan siap pada 2025. - DagangNews.com