KUALA LUMPUR 20 Sept - Top Glove Corp Berhad diunjur mencatat kerugian teras yang lebih kecil kepada RM83 juta pada 4QFY23 didorong kecekapan operasi berikutan catuan penggunaan kilangnya.
RHB Investment berkata, pelanggan kumpulan itu akan kehabisan inventori menjelang separuh kedua 2024 dan ia akan mendorong kepada pesanan yang lebih konsisten.
Katanya, cubaan untuk menaikkan harga berhadapan halangan kesan daripada penurunan harga bahan mentah dan berdasarkan semakan, purata harga jualan (ASP) pengeluar sarung tangan China tidak berubah dari suku pertama tahun ini iaitu antara AS$15 hingga AS$17.
ASP yang stabil adalah petanda positif dalam sektor itu terutama bagi jangka masa pendek kerana kenaikan harga yang agresif boleh menjejaslan jumlah jualan kerana pelanggan sangat sensitif terhadap sebarang kenaikan harga.
"Kami mengekalkan unjuran pendapatan FY24 kumpulan itu tetapi menyemak turun unjuran bagi FY25 sebanyak 68% selepas mengambil kira ketiadaan pembukaan kilang baharu.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) 84 sen sesaham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
RHB Investment berkata, jumlah eksport sarung tangan Malaysia menguncup 1% dari bulan ke bulan pada Julai berikutan penurunan 7% pada Jun dan ia adalah penurunan dua bulan bagi eksport sarung tangan pada tahun ini.
Katanya, pada suku kedua tahun ini, eksport sarung tangan jatuh 17% berikutan pertumbuhan 0.3% yang dicatatkan pada suku pertama. Sementara itu, eksport sarung tangan China jatuh 1% pada Julai berbanding pertumbuhan 11% pada Jun.
"Memandangkan permintaan terus tidak stabil dalam tempoh terdekat, kami menjangkakan pemulihan hanya berlaku menjelang separuh pertama 2024," katanya.- DagangNews.com