Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 April - Broker saham, Bursa Malaysia Berhad menyaksikan keuntungan selepas cukai (PAT) kumpulan bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1Q21) yang berakhir 31 Mac lalu mencanak 87.5% kepada RM121.4 juta.
Angka tersebut meningkat daripada RM64.7 juta PAT yang dicatatkan kumpulan pada 1Q20, menurut Bursa Malaysia dalam sebuah kenyataan hari ini.
Jelas Bursa Malaysia, peningkatan PAT itu terutamanya didorong oleh hasil operasi yang lebih tinggi sebanyak 56.7% kepada RM228.0 juta berbanding 1Q20.
Jumlah perbelanjaan operasi pada 1Q21 pula meningkat 9.2% kepada RM69.4 juta daripada RM63.5 juta dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kumpulannya memulakan tahun kewangan ini dengan kukuh berdasarkan momentum yang stabil sejak tahun lalu.
“Purata nilai dagangan harian (ADV) bagi Pasaran On-Market Trades (OMT) terus berkembang, meningkat sebanyak 100.8% kepada RM5.1 bilion daripada RM2.5 bilion pada 1Q20.
“Pelabur runcit tempatan terus memainkan peranan penting dalam pasaran kami, diperkukuhkan oleh akses mudah ke pasaran saham dan persekitaran kadar faedah yang rendah.
“Kami telah menyaksikan prestasi kukuh dalam pasaran pada 1Q21 dan menjangkakan ia akan terus menarik pelaburan dan dagangan bagi tahun 2021,” ujarnya.
Bagi suku tahun sama, Pasaran Securities mencatatkan hasil dagangan sebanyak RM150.9 juta berbanding RM78.1 juta bagi 1Q20, lonjakan 93.3% dipacu oleh ADV lebih tinggi bagi OMT.
Menurut Bursa Malaysia, kadar bayaran penjelasan efektif yang lebih tinggi pada 1Q21 juga menyumbang kepada peningkatan dalam hasil dagangan, tetapi ini sebahagiannya diimbangi oleh jumlah hari dagangan yang lebih rendah.
Dalam pada itu, Pasaran Derivatives pula menyaksikan hasil dagangan yang menyusut 15.7% kepada RM22.6 juta bagi 1Q21 daripada RM26.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini disebabkan oleh jumlah kontrak yang rendah bagi niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) serta FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI) selain jumlah hari dagangan yang rendah.
Sementara itu, Pasaran Islamic pula mencatatkan aktiviti dagangan yang lebih tinggi dalam Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) dipacu oleh peningkatan hasil dagangan sebanyak 16.0% kepada RM3.4 juta pada suku tersebut.
Tambah Muhamad Umar, walaupun Malaysia berada dalam kedudukan baik bagi pemulihan ekonomi untuk tahun ini, namun sepantas dan sejauh mana pemulihan itu masih tidak menentu.
“Setelah mengambil kira impak COVID-19 yang berterusan bagi tahun ini, Bursa Malaysia akan terus menyokong peserta pasaran dengan menyediakan inisiatif ekosistem mudah di samping langkah-langkah bantuan untuk mengurangkan beban kewangan dan menawarkan kelonggaran lebih besar dalam membantu dan menyokong mereka mengharungi tempoh mencabar ini,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com