Keuntungan Sedania melonjak tiga kali ganda pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Keuntungan Sedania melonjak tiga kali ganda pada suku pertama

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Mei - Pemangkin ESG, Sedania Innovator Berhad mencatat lonjakan tiga kali ganda dalam keuntungan selepas cukai kepada RM1.6 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFYE23) daripada RM510,000 setahun yang lalu.

 

Prestasi keuntungan yang positif dicapai seiring dengan pendapatan Kumpulan yang meningkat 29% kepada RM11.7 juta pada 1QFYE23 daripada RM9.0 juta setahun yang lalu, didorong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen ‘Penjagaan Kesihatan Mampan’ dan ‘FinTech’, serta keuntungan operasi yang lebih baik daripada semua segmen perniagaan.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, “Keuntungan selepas cukai 1QFYE23 kami melebihi pendapatan tahunan penuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. Pencapaian positif ini merintis potensi pertumbuhan memberangsangkan untuk Sedania capai pada tahun 2023.

 

“Jenama ‘Penjagaan Kesihatan Mampan’ kami, Offspring, kini boleh didapati di 26 negara selepas pengembangan pasaran terbarunya ke UAE, Arab Saudi dan Mesir and merupakan antara pemacu pertumbuhan kami masa hadapan.

 

"Dengan kira-kira 200 negara di dunia dan anggaran peningkatan populasi hampir 2 bilion orang dalam tempoh 30 tahun akan datang, masih terdapat banyak ruang untuk pertumbuhan luas bagi Offspring terutamanya di dunia hari ini yang semakin menghargai dan mengutamakan kelestarian.

 

“Prospek pertumbuhan bagi segmen ‘FinTech’ kami juga bertambah baik melalui kerjasama hibah digital dengan syarikat bersekutu terbaharu kami Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe).

 

"Dengan kadar pelaksanaan hibah dalam kalangan umat Islam Malaysia kini hanya 0.2%, terdapat banyak peluang pertumbuhan melalui kerjasama ini.

 

"Kami berada dalam kedudukan strategik untuk mengembangkan keuntungan kami dengan memasuki pasaran yang belum diterokai ini sambil memacu warisan lestari dan perancangan kekayaan untuk masyarakat Islam tempatan, terutamanya dengan beberapa institusi perkhidmatan kewangan menyatakan minat terhadap platform hibah digital hujung ke hujung kami yang lengkap.”

 

Dalam 1QFYE23, Sedania mencatatkan sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu berjumlah RM160,000. Ia diperoleh daripada Wasiyyah Shoppe, syarikat bersekutu terbaharu Sedania berikutan selesainya pengambilalihan 20% kepentingan Kumpulan dalam Wasiyyah Shoppe seperti yang diumumkan pada 1 Mac 2023.

 

Segmen ‘Penjagaan Kesihatan Mampan’ Kumpulan memperlihatkan permintaan yang lebih kukuh untuk rangkaian produk penjagaan kesihatan mesra alam merentas pasaran antarabangsa utama di Asia dan Eropah, serta dalam pasaran tempatan Malaysia.

 

Pendapatan ‘Penjagaan Kesihatan Mampan’ meningkat 26% kepada RM9.2 juta dalam 1QFYE23 daripada RM7.3 juta setahun sebelumnya. Di samping itu, perniagaan ‘FinTech’ Sedania mencatatkan prestasi terbaik dalam 1QFYE23 dirangsang oleh peningkatan pendapatan dan keuntungan menggalakkan.

 

Pendapatan ‘FinTech’ melonjak 82% kepada RM2.1 juta daripada RM1.1 juta setahun lalu didorong terutamanya oleh peningkatan ketara aliran trafik daripada platform perkhidmatan Tawarruq dan GoHalalnya. Keuntungan operasi sebelum cukai segmen tersebut meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada RM1.0 juta pada 1QFYE23, berbanding RM0.4 juta pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com