Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Syarikat pengangkutan dan logistik, Tasco Berhad (Tasco) dijangka terus mencatatkan nilai keuntungan yang kukuh menjelang separuh kedua 2021.
MIDF Research berkata, jangkaan itu dinilai memandangkan syarikat berkenaan mampu merekodkan nilai pendapatan yang tinggi pada enam bulan pertama 2021.
"Tasco melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM11.4 juta dalam tempoh operasi suku kedua 2021 iaitu peningkatan 234.0% berbanding tahun lalu sekali gus menjadikan pendapatan enam bulan pertama 2021 kepada RM14.8 juta.
"Kami menganggap prestasi Tasco sangat baik dan sejajar dengan ramalan pertumbuhan. Tasco telah menunjukkan pertumbuhan yang belum pernah terjadi sebelumnya di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.
"Kami menjangkakan kumpulan ini akan terus mencatatkan prestasi yang baik pada separuh kedua 2021," jelas MIDF Research.
Tambah MIDF Research, jangkaan itu juga disandarkan kepada tarif pengangkutan udara yang diramal akan meningkat.
Tasco menunjukkan pertumbuhan dalam bahagian Pengangkutan Udara (AFF) untuk segmen antarabangsa dan bahagian Cold Supply chain Logistics (CSC) untuk segmen logistik.
AFF menyaksikan perolehan pendapatan RM117.3 juta untuk tempoh enam bulan pertama 2021 dengan peningkatan 60.0% berbanding tahun lalu.
Manakala CSC pula mencatatkan peningkatan sebanyak 8.0% kepada RM62.1 juta.
Secara keseluruhan bagi tempoh enam bulan pertama 2021, Tasco mencatatkan jumlah pendapatan RM408.0 juta dengan peningkatan 10.0% berbanding tahun lalu.
MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' saham Tasco dengan membuat semakan semula pada harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM2.56 berbanding RM2.23 pada sebelumnya. - DagangNews.com