Khairdzir Md Yunus (kiri) dan Roslan Ariffin
KUALA LUMPUR 24 Dis - Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mengumumkan pelantikan Khairdzir Md Yunus sebagai Ketua Pengarang yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Khairdzir, 59, berkelulusan ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Muda (Kajian Populasi) dari Universiti Malaya (UM), telah berkhidmat di Bernama selama 36 tahun.
Sebelum ini beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Biro Kedah, Koresponden Bernama di Indonesia, dan Ketua Penyuntingan Bahasa Melayu.
Pengumuman pelantikan Khairdzir yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Perniagaan dan Kewangan), itu dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain.
Beliau mengantikan Abdul Rahman Ahmad, yang sebelum ini telah melengkapkan kontrak perkhidmatannya awal bulan ini, selepas beliau bersara wajib tahun lepas.
Mokhtar turut mengumumkan Ketua Bahagian Penyiaran (TV dan Radio), Roslan Ariffin dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) bagi menggantikan Khairdzir.
Berkelulusan Institut Teknologi Mara (kini dikenali Universiti Teknologi Mara) pada 1991, Roslan, 55, sebelum ini merupakan Ketua Program Bernama TV dan Eksekutif Editor Perkhidmatan Berita pada 2018. - DagangNews.com