Khairy Jamaluddin, Tan Sri Shahril Ridza dilantik sebagai pengarah CGS MY | DagangNews Skip to main content

Khairy Jamaluddin, Tan Sri Shahril Ridza dilantik sebagai pengarah CGS MY

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Mac - CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) telah melantik Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai pengarah bebas bukan eksekutifnya berkuat kuasa 28 Februari 2024.

 

Mereka akan menyertai enam ahli Lembaga Pengarah lain, termasuk Carol Fong, Yuen Kwok Wai, Chan Yuen May, Azizah Mohd Yatim, Alan Inn Wei Loon dan Khairi Shahrin Arief Baki.

 

Meskipun tidak diwajibkan untuk melantik pengarah bebas kepada lembaga pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Azizah Mohd Yatim berkata, pihaknya memilih untuk menerima pakai amalan terbaik tadbir urus korporat, yang disarankan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia untuk menekankan komitmen syarikat terhadap piawaian tertinggi tadbir urus korporat. 

 

“Selepas diambil alih sepenuhnya oleh CGS International Holdings Limited baru-baru ini, kami mempunyai peluang pertumbuhan baharu dan boleh mendapat manfaat daripada individu yang amat dihormati ini untuk memperkukuh kecekapan lembaga pengarah. 

 

“Kami yakin gabungan kepakaran dan kepelbagaian lembaga pengarah, yang merangkumi wakil swasta dan awam dalam bidang perniagaan, kewangan, pelaburan dan dasar, akan mewujudkan kepimpinan teguh yang akan mengemudi syarikat ke arah visinya untuk menjadi bank pelaburan bertaraf dunia dan terkemuka di Asia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini mengumumkan pelantikan tersebut.

 

Khairy merupakan usahawan dan bekas ahli politik dengan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, perwakilan perundangan, penyelidikan dasar, kewangan, kepimpinan tentera dan politik parti. 

 

Beliau juga adalah pengasas dan pengerusi kumpulan pemikir The Centre dan merupakan Pengarah Perbankan Pelaburan di ECM Libra Avenue Securities. 

 

Sebagai bekas Menteri Kesihatan, Khairy mengetuai salah satu program vaksinasi paling berjaya di dunia dengan mendigitalkan sistem pengurusan wabak COVID dan memulakan pelaporan data terbuka dalam penjagaan kesihatan awam.

 

Sementara itu, Tan Sri Shahril mempunyai pengalaman profesional selama tiga dekad merangkumi pelbagai industri, termasuk perundangan dan pengurusan dana.

 

Ketika ini, beliau merupakan ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat seperti Axiata Group Berhad, Ekuiti Nasional Berhad, Pengurusan Danaharta Nasional dan Kuala Lumpur Kepong Berhad.

 

Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Berhad dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). - DagangNews.com