Khazanah, KWAP dan Blue Chip Venture Capital labur RM3 bilion di Malaysia, Asia Tenggara - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Khazanah, KWAP dan Blue Chip Venture Capital labur RM3 bilion di Malaysia, Asia Tenggara - PM Anwar

Anwar Ibrahim dan Fadillah Yusof menyaksikan majlis perjanjian pelaburan sempena Sidang Kemuncak KL20 2024 di ibu negara hari ini. Gambar FB Fadillah Yusof
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 22 April - Pelaburan sehingga RM3 bilion akan dilakukan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Blue Chip Venture Capital dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Khazanah Nasional juga akan melancarkan National Fund of Funds dengan peruntukan awal RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat Malaysia yang berinovatif dan mencapai pertumbuhan tinggi.

 

Beliau berkata ini susulan pengumuman Belanjawan Malaysia MADANI 2024 tahun lepas, yang menggariskan komitmen kerajaan kepada syarikat Malaysia, daripada usahawan Bumiputera sehinggalah kepada syarikat baharu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin meningkat.

 

“Kerajaan juga menyasarkan untuk memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap) dan Penjana Kapital di bawah Khazanah Nasional,” katanya.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika melancarkan Sidang Kemuncak KL20 2024 di ibu negara hari ini. 

 

BCVC ialah dana khusus yang bertujuan untuk meningkatkan teknologi dan nilai dalam industri semikonduktor.


Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Sidang Kemuncak KL20 menjadi forum untuk memudah cara syarikat permula dalam pelaburan bernilai tinggi dan mengalakkan syarikat permula untuk berkembang ke luar negara dengan memanfaatkan rantaian ekosistem global yang lengkap. 

 

"Saya menghargai perkongsian daripada wakil-wakil syarikat modal teroka dan pelabur yang hadir. Adalah penting supaya dasar-dasar Kerajaan mengambil kira perspektif dan strategi jangka panjang mereka.  

 

"Saya tegaskan tekad Kerajaan mendokong syarikat-syarikat pemula dengan mempunyai dasar yang jelas merangkumi visi negara, kekuatan sumber dan perspektif pelabur," ujarnya menerusi media sosial beliau.

 

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Digital, Gobind Singh. - DagangNews.com