Kilang baharu TF AMD bernilai RM2 bilion dijangka siap pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Kilang baharu TF AMD bernilai RM2 bilion dijangka siap pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Syarikat semikonduktor, TF AMD Microelectronics Sdn. Bhd. menjangkakan kilang pembuatannya bernilai RM2 bilion di Pulau Pinang akan siap pada 2023.

 

Pengarah Urusan merangkap Naib Presiden Korporatnya, Neoh Soon Ee berkata, kilang yang terletak di Taman Perindustrian Batu Kawan itu adalah yang kedua di negeri itu dan dijangka mewujudkan lebih daripada 3,000 pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan semikonduktor maju, reka bentuk dan teknologi pemprosesan bagi penyelesaian pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

"Kemudahan baharu seluas 1.5 juta kaki persegi dan di kawasan kira-kira 14 ekar (5.66 hektar) itu akan mengeluarkan teknologi litar bersepadu serba maju.

 

"Apabila siap, ia akan menjadikan kapasiti pembuatan syarikat secara keseluruhannya mencecah lebih 2.3 juta kaki persegi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

TF AMD Microelectronics adalah sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan pada 2016 oleh syarikat China, TongFu Microelectronics dan Advanced Micro Devices Inc (AMD) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan Bendahari AMD, Datuk Devinder Kumar berkata, AMD telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam tempoh beberapa tahun ini.

 

"Pulau Pinang memiankan peranan penting dalam operasi pemasangan dan ujian untuk AMD dan TF-AMD," katanya.

 

Dalam pada itu,  Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, masih kekal sebagai destinasi pelaburan bagi pembuatan bernilai tinggi serta perkhidmatan global di Asia.

 

Beliau berkata, keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia juga terus berkembang berikutan negara ini kekal sebagai antara ekosistem paling komprehensif di rantau ini serta bagi industri elektrikal dan elektronik (E&E) dan jentera dan peralatan (M&E), sekali gus menjadikannya sebagai tapak tunggal terbesar pilihan bagi firma-firma semikonduktor luar pesisir. - DagangNews.com