Kitacon dapat kelulusan SC disenaraikan di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kitacon dapat kelulusan SC disenaraikan di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR 13 Okt – Kumpulan Kitacon Bhd. memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

Kitacon, melalui anak syarikat milik penuhnya yang dicadangkan Kitacon Sdn. Bhd., mengkhusus dalam pembinaan perbandaran yang merangkumi pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman dalam pembangunan.

 

Beberapa projek pembinaan perbandaran terkenal di mana Kitacon terlibat termasuk Tropicana Aman, City of Elmina, Serene Heights, Setia Eco Park dan Eco Majestic. 

 

Pengarah Urusan Kitacon, Tan Ah Kee berkata, kumpulan teruja untuk memulakan babak baru ini dan berhasrat untuk memanfaatkan rekod prestasi yang mantap dan perkhidmatan berkualiti untuk terus mengembangkan kecekapan teras dan memenuhi nilai jangka panjang kepada semua pemegang kepentingan.

 

Katanya, kumpulan berhasrat untuk menggunakan hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan mengukuhkan lagi kedudukan dalam industri pembinaan.

 

"Kami telah melangkah jauh sejak permulaan kami yang sederhana pada 1990 dan berterima kasih kepada kakitangan, pelanggan dan rakan kongsi perniagaan kami kerana memberi sokongan dalam perjalanan 32 tahun kami setakat ini.

 

"Oleh itu, kami yakin dapat mengembangkan perniagaan pada masa hadapan, memanfaatkan hubungan perniagaan yang telah lama terjalin yang telah kami bina dengan pelanggan selama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

IPO Kitacon membabitkan terbitan awam sebanyak 76,088,500 saham baharu dan tawaran jualan sebanyak 62,500,000 saham sedia ada.

 

Daripada saham yang diperuntukkan untuk terbitan awam, 10,000,000 akan disediakan untuk permohonan oleh orang ramai manakala 8,588,500 akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Kitacon dan anak syarikatnya yang dicadangkan. 

 

Baki 57,500,000 saham akan disediakan kepada pelabur institusi dan terpilih melalui penempatan persendirian.

 

RHB Investment Bank Bhd. adalah penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com