KJTS sasar kumpul RM58.9 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

KJTS sasar kumpul RM58.9 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - KJTS Group Berhad menyasarkan untuk mengumpul RM58.9 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) selepas disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 26 Januari 2024.

 

Pengarah Eksekutifnya, Sheldon Wee Tah Poh berkata, IPO itu terdiri daripada terbitan 218.03 juta saham baharu pada 27 sen sesaham, dengan sebahagian besar hasil akan digunakan untuk pengembangan perniagaan syarikat, modal kerja dan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

"Langkah itu merupakan pencapaian penting untuk KJTS terutama dalam idnsutri perkhidmatan sokongan bangunan dan penyenaraian itu membuka jalan kepada kami untuk meluaskan jangkauan kumpulan di Malaysia, Singapura dan Thailand.

 

"IPO itu menandakan langkah penting dalam meningkatkan operasi kami selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan sokongan bangunan berkualiti tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: KJTS meterai perjanjian taja jamin bersama Hong Leong Investment Bank bagi terbitan IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Katanya, sejumlah RM44.9 juta akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, termasuk RM40.4 juta untuk pengembangan segmen Tenaga Penyejuk dan RM4.5 juta untuk pembesaran pejabat di Malaysia, Thailand dan Singapura.

 

Sementara itu, baki RM8.1 juta akan diperuntukkan untuk modal pusingan dan RM5.8 juta untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Sejumlah 15 juta saham akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian, dengan 1.7 juta saham akan diperuntukkan untuk pengarah yang layak, 2.4 juta saham untuk pengurusan kanan utama yang layak, 10.46 juta saham bagi pekerja yang layak manakala 440,000 saham untuk orang yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sementara itu, sebanyak 34.4 juta saham akan diperuntukkan kepada rakyat Malaysia melalui pengundian.- DagangNews.com